AIDILFITRI ADALAH TANDA KEMENANGAN UMAT ISLAM MENJALANI IBADAH Puasa. SAMBUTLAH DENGAN PERASAAN KASIH SAYANG DAN SALING BERMAAF-MAAFAN
Tinggal 5 hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Syawal. Bagaimana persiapan menyambutnya? Sudah lengkap? Barangkali ada yang terguris hati dengan artikel ini. Ketahuilah, walau apa sahaja keputusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan, itu tidak bermakna kita tidak boleh menyambut Aidilfitri pada tahun ini. Bulan Syawal adalah bulan kemenangan kepada semua umat Islam setelah sebulan berjihad melawan hawa nafsu.
Pendidikan di sepanjang Ramadhan juga merupakan suatu proses dalam melahirkan hamba Allah SWT yang bertaqwa dan berjaya serta memerdekakan diri dari godaan syaitan dengan mendapat bentengan dari hawa nafsu. Oleh yang demikian, umat Islam perlu memanfaatkan kehadiran Syawal yang penuh barakah ini dengan sebaik mungkin melalui amalan-amalan mulia yang dituntut dalam agama Islam. Firman Allah SWT:
“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”. (QS Al – Baqarah: 185)
Hari raya Aidilfitri merupakan erti kemenangan umat Islam yang terhasil setelah pengharapan, pengabdian dan penyerahan diri kepada ALLAH S.W.T dilakukan dengan penuh ketakwaan dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Kemenangan dibulan Syawal dihiasi dengan laungan takbir disepanjang hari pertama pada bulan tersebut membawa umat Islam terus bersatu bernaung dengan kalimah tauhid yang berpandukan syariat Islam.
Kesyukuran di Aidilfitri disambut dengan fitrah kasih sayang antara umat Islam khususnya dalam institusi kekeluargaan. Dorongan kepada sifat tersebut membawa kepada amalan bermaafan diantara satu sama lain dikalangan saudara-mara dan sahabat handai. Rasulullah SAW bersabda:
Para pengasih dan penyayang dikasihi dan disayang oleh Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang), rahmatilah yang ada di bumi niscaya kalian akan dirahmati oleh zat yang ada di langit.” (HR Abu Dawud).
Walaupun Aidilfitri yang diraikan pada tahun ini dalam keadaan terhad, tetapi sebagai umat Islam kita wajib bersyukur kerana Allah SWT memberikan kita kesempatan untuk merayakannya. Rayakanlah kedatangan bulan Syawal dengan penuh nikmat dan kesyukuran.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Comments
Post a Comment