BERPUASALAH ENAM HARI DI BULAN SYAWAL SELEPAS BERPUASA DI BULAN RAMADHAN KERANA IA ADALAH AMALAN YANG MENINGKATKAN KETAKWAAN


Bulan Syawal bakal menjelang tiba, pasti ramai di antara kita sudah tidak sabar meraikan hari kemenangan tersebut dengan pelbagai sajian juadah yang menyelerakan. Namun, tidak kurang juga ada yang memilih untuk melakukan puasa enam di bulan Syawal secepat mungkin kerana untuk meraih ganjaran pahala sebagai tambahan kepada ganjaran sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. 

Apa itu puasa enam di bulan Syawal? Ia adalah puasa sunat enam hari di bulan Syawal yang dilakukan oleh umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Hukumnya sunat. Jika tidak dilakukan tidak mengapa, tetapi jika dilakukan akan mendapat pahala yang berganda. Bahkan di dalam sabda Rasulullah SAW: 

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.” (HR Muslim) 

Orang-orang yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan mereka layak untuk mendapat pelbagai kenikmatan daripada Allah. Di antara nikmat yang sungguh hebat untuk mereka yang berpuasa adalah satu syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang berpuasa sahaja. Sabda Baginda: 

“Sesungguhnya di syurga ada sebuah pintu yang disebut dengan ar-Rayyaan, yang akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak ada yang memasukinya, kecuali orang yang berpuasa. Ada yang berkata: “Di mana orang-orang yang berpuasa?”, maka mereka berdiri, tidak ada seorang pun yang memasukinya, selain mereka, jika mereka sudah masuk, maka pintu itu tertutup, dan tidak ada seorang pun yang boleh masuk ke dalamnya”. (HR Bukhari: 1896) 

Hebat bukan kasih sayang Allah SWT terhadap kita? Kita hanya perlu melakukan sedikit sahaja amalan tetapi Allah SWT melipatgandakan ganjaran kepada hambaNya yang bersungguh-sungguh ingin merebut keredhaanNya. Nikmat apa lagi yang kita mahu dustakan? Baru satu Allah SWT mengurniakan kepada kita rahmat di dunia dan kita mendapat macam-macam nikmat. Di akhirat sana, Allah SWT mengurniakan kita dengan 99 rahmat, adakah kita mahu menolak? 

Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kita mengamalkan puasa sunat di bulan Syawal ini kerana ia akan meningkatkan ketakwaan seseorang dan akan mendapat ganjaran yang tidak terhingga daripada Allah SWT. Seeloknya puasa enam ini dimulakan pada 2 Syawal kerana Rasulullah SAW melarang kita berpuasa pada 1 Syawal kerana itu merupakan hari kemenangan umat Islam. Namun puasa 6 hari di bulan Syawal ini boleh dilakukan bila-bila masa di bulan Syawal sama ada secara berturut-turut hari atau tidak melakukan secara berturut-berturut. 

Ayuh, ubah diri kita kepada sesuatu yang lebih baik kerana dengan berpuasa dan mengamalkan puasa-puasa sunat yang lain akan melatih diri kita untuk hidup dalam penuh kesederhanaan di samping akan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT. 

Sumber: Salam Web Today (https://today.salamweb.com/)

Comments