BERSABAR MENGHADAPI SETIAP MUSIBAH NESCAYA ALLAH AKAN MENGHAPUSKAN DOSA DAN MEMBERIKAN GANJARAN PAHALA YANG BESAR
Minggu lepas sahaja kes harian Covid-19 sudah pun mencecah angka sehingga lebih 6k. Bagaimana pula dengan minggu ini? Ya, mesti ramai di antara kita yang resah gelisah mengenangkan angka kes harian yang semakin mencanak naik. Adakah tepat apa yang diperkatakan oleh seorang pengamal perubatan yang kes harian di negara ini boleh mencecah sehingga ke angka melebihi 10k sehari? Apa yang pasti, apa yang kita lalui ini adalah dugaan dan teguran daripada Allah SWT kepada kita dan kita harus sabar, tabah dan redha menempuhinya. Firman Allah SWT:
“Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (QS al – Mulk: 2).
Sesiapa yang ditimpa sesuatu musibah perlu diingatkan supaya bersangka baik dengan Allah, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar. Sebagai manusia yang bergelar hamba, pastinya kita tidak terlepas dalam melakukan kesilapan atau dosa. Namun, Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita semua supaya sentiasa bersabar, berusaha mengubati penyakit dan bertawakal selepas segala ikhtiar dilaksanakan.
Barangsiapa yang sentiasa bersabar, redha, tawakkal dan percaya musibah ini adalah dugaan daripada Allah SWT untuk menguji para hambaNya, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala tanpa batasan berbanding dengan amalan yang dilakukan. FirmanNya:
“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (QS an-Nahl: 96).
Wahai kaum Muslimin sekelian, ketahuilah bahawa musibah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita seperti Covid-19 adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada kita, tanda Allah SWT ingin memberikan kita banyak pahala dan menginginkan kita ini kembali bertakwa kepadaNya. Oleh itu, kita hendaklah selalu bersabar dalam menghadapi setiap musibah yang menimpa dan percaya ganjaran pahala Allah SWT itu pasti ada buat kita.
Dari Abi Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak satu musibah pun yang menimpa diri seorang Muslim, sama ada yang berupa kesusahan dan penderitaan, kesedihan dan kedukaan ataupun penyakit, bahkan kerana sepotong duri yang mencucuk kakinya (anggotanya), melainkan dihapuskan oleh Allah dengan itu sebahagian dari kesalahannya.” (HR Bukhari).
Sumber: Harian Metro “Sabar hadapi ujian” (1 April 2020)
Comments
Post a Comment