BERSEGERALAH MELAKUKAN AMAL KEBAIKAN DI MUSIM COVID-19 DEMI MENDAPAT KEAMPUNAN DAN GANJARAN PAHALA YANG BESAR DARI ALLAH SWT
Apabila kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan setiap hari, maka berduyun-duyunlah umat manusia kecewa, hilang semangat dan putus asa. Ini kerana mereka menyangkakan bahawa serangan pandemik ini adalah pengakhiran kepada kehidupan seluruh umat manusia. Akhirnya, ada yang memilih jalan singkat untuk mengakhiri hidup sendiri.
Akan tetapi, sedar atau tidak bahawa ini bukanlah penamat segala-galanya? Lihat dari sudut positif bagaimana serangan pandemik ini menyatukan kita semua sebagai rakyat Malaysia. Lihat contoh – contoh yang ditunjukkan sebelum ini bagaimana kita semua saling berganding bahu, tolong – menolong dan berlumba – lumba melakukan kebaikan demi membantu sesama rakyat. Mengapa hal sedemikian tidak bolehl kita lakukan sekarang? Firman Allah SWT:
"Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (QS Al – Hadid: 21)
Allah SWT telah membawa satu pendekatan motivasi dan semangat kepada hambaNya iaitu pendekatan berlumba-lumba untuk mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapat keampunan dan balasan syurga. Tidakkah kita mahu dengan ganjaran seperti ini? Di waktu inilah, masa yang amat sesuai bagi kita untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan, tidak kira dari segi bantuan tenaga mahupun sokongan moral. Ini kerana setiap individu yang terkesan dengan pandemik ini sangat-sangat memerlukan sokongan kita semua. Tunjukkan kepada mereka yang kita semua ambil peduli akan mereka dan selalu menyokong mereka.
Tidak kira apa pun berlaku, kita tetap harus bersemangat dan positif serta percaya setiap dugaan dan cubaan yang mendatang ini adalah tanda kebesaran dan rasa cinta Allah SWT kepada kita. Percayalah, Allah SWT telah mempersiapkan ganjaran buat kita yang sentiasa ingin berlumba-lumba untuk membuat kebaikan kepada semua makhluk ciptaanNya. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (QS Al – A’raf: 56)
Sumber: Berita Harian (30 Oktober 2015)
Comments
Post a Comment