FAHAMAN ATEIS ADALAH FAHAMAN YANG MENSYIRIKKAN ALLAH YANG MENGANCAM KESUCIAN ISLAM DAN MENGGUGAT KEHARMONIAN BERAGAMA


#TOLAK ATEIS#

Asakan pelbagai ideologi barat telah berjaya meresap masuk sehingga mempengaruhi cara berfikir umat Islam masa kini, bahkan mereka bersungguh-sungguh mempertahankan dan menyebarkan kepada orang lain. Antara yang membimbangkan kita sejak akhir-akhir ini ialah penglibatan anak-anak muda dan remaja kita dalam kumpulan yang tidak mempercayai kewujudan tuhan atau disebut sebagai atheis.

Beberapa ciri fahaman ateis dapat dinyatakan seperti berikut; 
1. Menolak secara mutlak wujudnya tuhan atau segala yang bersifat Ilahiah. 
2. Menetapkan hujah bahawa tiada bukti wujudnya tuhan dan kegagalan sains mengesahkannya sebagai asas kepada penolakan tersebut. 
3. Meyakini bahawa hidup adalah satu proses di mana tiada ruang untuk menerima kewujudan tuhan.

Fahaman ini secara jelas amat bertentangan dengan dasar akidah Islam yang berpaksikan kepada tauhid. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ikhlas, ayat 1-4: Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah yang Esa; “Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Dia tidak beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tiada sesiapa pun yang setara dengan-Nya.

Hakikatnya fahaman ateis adalah fahaman yang mensyrikkan Allah yang sangat bahaya. Di sebalik penolakan terhadap kewujudan tuhan, golongan ateis telah memberikan sifat-sifat ketuhanan kepada alam. Akhirnya mereka menyembah dan mengabdikan diri kepada hawa nafsu semata-mata.

Demikianlah yang terjadi apabila kekosongan jiwa dan hati manusia tidak diisi dengan kepercayaan dan keimanan kepada Allah s.w.t. Maka hiduplah manusia bertuhankan kepada nafsu yang akan memusnahkan seluruh hidupnya. 

Perkara ini tidak seharusnya dipandang remeh dan sepi. Tindakan segera perlu diambil untuk membendung penularan fahaman ateis yang menolak kepercayaan terhadap kewujudan Tuhan, bagi memastikan doktrin berkenaan tidak berleluasa di negara ini sehingga di luar kawalan. Fahaman ateis bukan sahaja merosakkan kesucian akidah Islam, malah ia juga akan memberi ancaman terhadap keharmonian beragama di negara ini kerana mereka yang berfahaman ateis akan menjalani kehidupan berpandukan hawa nafsu dan akal fikiran semata-mata.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan

Comments