HENTIKAN MENYEBAR FITNAH DAN HASUTAN KERANA IA ADALAH PERBUATAN DOSA BESAR YANG AKAN MENDAPAT AZAB ALLAH DI DUNIA DAN DI AKHIRAT
Tular baru-baru ini mengenai satu pesanan suara (voicemail) wanita yang menggelarkan dirinya ‘Makteh’ kononnya kesan suntikan vaksin yang diterima oleh para petugas barisan hadapan itu adalah racun dan mendakwa sebanyak 30 orang telah pun meninggal dunia dan tidak dihebohkan. Persoalannya, adakah dakwaan itu benar?
Jika ia benar, mengapa tidak ada satu pun pihak yang membuat laporan? Dan jikalau ianya benar suntikan racun dan bukannya vaksin, mengapa hanya 30 orang sahaja yang dinyatakan meninggal seperti yang diperkatakan oleh ‘Makteh’ tersebut? Mengapa tidak kesemua barisan petugas hadapan yang mendapat kesan sampingannya sedangkan vaksin yang diberikan itu sama. Inilah fitnah yang cuba diadu dombakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memporak-perandakan keadaan yang sedang memulih. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (QS An – Nur: 19)
Seharusnya dalam hal ini, kita hendaklah berwaspada terhadap serangan halus puak-puak kafir yang cuba memecahbelahkan perpaduan dan pemikiran kita sebagai umat Islam dengan cara menabur fitnah dan mengadu-domba. Perbuatan itu sebenarnya didorong oleh hasad dengki dan dendam. Maka tanpa rasa bersalah, berita palsu dibuat bagi tujuan mengaibkan atau menjatuhkan maruah seseorang yang tidak bersalah. Ia sangat bahaya kerana pada zahirnya, kita lihat seolah-olah tiada apa-apa ancaman atau kezaliman yang dilakukannya, tetapi di sebaliknya telah banyak kejahatan yang telah dilakukan. Perbuatan itu jika tidak dikawal akan menyebabkan masyarakat tidak stabil dan akan menggugat keamanan negara.
Kepada penabur-penabur fitnah, ini adalah pesanan ringkas untuk anda. Ingatlah, mungkin sekarang anda bahagia atas penderitaan orang lain, tetapi dosa yang anda lakukan kepada umat manusia hanya boleh dimaafkan oleh si mangsa dan bukannya Allah SWT. Sekarang kita dalam keadaan pandemik Covid-19 dan semua pihak berusaha untuk menyelamatkan diri dengan menerima suntikan vaksin yang disediakan oleh Kerajaan. Dek kerana fitnah anda, mereka terpengaruh dan wasapadalah! Jika mereka maut akibat pandemik ini, anda bertanggungjawab! Anda boleh diibaratkan ‘pembunuh’ bagi seluruh umat manusia. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (HR Bukhari: 6056)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment