HIDUPKANLAH MALAM RAYA DENGAN PERBANYAKKAN IBADAH KEPADA ALLAH SWT BUKANNYA DENGAN MELAKUKAN KEMAKSIATAN


Tidak sampai 24 jam lagi Aidilfitri bakal menjengah kita semua. Mesti seisi keluarga sedang sibuk mempersiapkan diri dan rumah masing-masing untuk sambutan kemenangan ini. Namun, adakah kita sedar bahawa semasa malam Aidilfitri juga kita disunatkan untuk menghidupkan amalan malam raya? Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati." (HR at-Thabrani)

Walaupun hadis menghidupkan malam hari raya ini adalah hadis yang lemah, namun pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan melihat bahawa hadis tersebut termasuk di dalam fadhail ‘amal iaitu berkenaan kelebihan-kelebihan beramal. Ia bukannya berkaitan dengan hukum hakam sama ada halal atau haram. Jumhur para ulama membenarkan untuk beramal dengan hadis yang dhaif selagi mana ianya berkaitan dengan fadhail ‘amal. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi.

Antara amalan yang boleh dilakukan di malam raya selain beribadah, kita juga digalakkan berzikir. Amalan zikir berikut dipetik daripada kitan Jami' al-Fawaid wa Jauhar al-Qola'id karangan asy-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, halaman 117, di mana kita hendaklah membaca zikir “Subhanallah” sebanyak 300 kali. Barang siapa membaca pada malam hari raya fitrah 300 kali kemudian dihadiahkan kepada kaum Muslimin yang telah meninggal dunia, dimasukkan dalam tiap-tiap kubur mereka 1000 cahaya dan dijadikan dalam kuburnya nanti 1000 cahaya.

Amalan kedua berzikir adalah dengan menyebut “Laillahaillallahu Wahdahu La Syarikallah, Lahul Mulku Walahulhamdu, Wahuwa ‘Ala Kulli Syai’in Qodir” sebanyak 400 kali. Jika kita mengamalkannya di malam raya, maka ganjarannya seperti memerdekakan 100 hamba. Adalah harus untuk menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara ketaatan seperti solat berjemaah, solat sunat, membaca Al-Quran, bertasbih, istighfar, bertakbir dan sebagainya. Inilah cara yang paling terbaik untuk menutup lembaran Ramadhan.

Bahkan, Imam Al-Nawawi menyebut bahawa harus untuk menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara ketaatan dan ibadah.Inilah juga saranan yang telah diberikan oleh Imam Al-Syafi’I di dalam kitabnya Al-Umm.Walaupun hadis-hadis berkenaan menghidupkan malam hari raya adalah hadis yang dhaif namun ianya dibenarkan kerana hanya melibatkan fadhail amal. Dikatakan juga bahawa doa mustajab berlaku pada lima malam. Malam tersebut ialah malam jumaat, malam hari raya aidilfitri dan aidiladha,malam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban.

Tidak ada salahnya melakukan amalan ini di malam raya kerana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam, malah ia adalah amalan yang baik kerana memuji dan memuja Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan kepada kita sehinggakan kita dapat bertemu dengan Ramadhan, malam Lailatul Qadar dan seterusnya malam Syawal.  Marilah kita sama-sama menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara yang boleh mengingatkan kita kepada Allah. Di samping kita membuat persiapan untuk menyambut syawal, jangan kita terlalu seronok sehingga terlupa bahawa kita adalah hamba Allah. Jangan kita tutup bulan Ramadhan dengan melakukan maksiat kepada Allah SWT.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments