Tidak terasa waktu cepat berlalu sehinggakan pada hari ini kita sudahpun memasuki 22 Ramadhan. Ini bermakna hanya berbaki 8 hari sahaja lagi sebelum kita meraikan kemenangan kita dalam jihad melawan nafsu di bulan mulia ini. Apa persiapan kita dalam menuju 8 hari terakhir Ramadhan ini? Sudah tentu mengejar malam Lailatul Qadar hingga ke akhir penamat bulan yang suci ini. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Al-Qadr. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Al-Qadr itu? Malam Al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Rabb mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (QS al – Qadr: 1-5)
Malam Lailatul Qadar merupakan satu malam yang sangat istimewa kepada orang-orang beriman yang sentiasa mencari keredaan Allah SWT. Ini kerana Allah SWT mengkhabarkan kepada kita bahawa malam itu ia lebih baik daripada 1,000 bulan. Mari kita lihat apakah kelebihan tentang 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Antara kelebihannya:
1. Terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. 1,000 bulan itu adalah bersamaan dengan 83 tahun. Bayangkan setiap solat yang kita kerjakan pada malam tersebut, pahalanya umpama kita melakukan solat berterusan selama 83 tahun tersebut.
2. Pada malam tersebut para malaikat diketuai oleh Jibril A.S turun ke dunia, membawa perkara yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya.
3. Malam Al-Qadr itu adalah malam yang sejahtera dan penuh berkat bermula dari terbenamnya matahari hingga terbit fajar.
4. Allah SWT sentiasa memberi peringatan dan amaran melalui penurunan Al-Quran dan juga pengutusan Rasulullah SAW.
5. Rasulullah SAW berpesan agar kita berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan Malam Al-Qadr. Baginda bersabda:
“Carilah malam Al-Qadar pada malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.” (HR Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, sebagai umat Islam kita digalakkan untuk mencari keredhaan Allah SWT menerusi malam Lailatul Qadar. Jangan pernah berhenti dan sentiasa istiqomah sepanjang hari-hari terakhir di bulan Ramadhan ini. In Shaa Allah, Allah SWT akan mempertemukan kita dengan malam tersebut, berdoalah. Walau apapun harinya, yang pentingnya pada malam tersebut, Allah Taala menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hambaNya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan, yang selalu mengharapkan keredaan Ilahi dan juga yang sentiasa menghiasi setiap detik kehidupannya dengan amalan soleh. Akan tetapi fadilat malam mulia tersebut akan menyinari orang-orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan juga istiqamah dalam mempertahankan nilai-nilai keislaman dalam setiap tutur kata, perilaku, akhlak, ibadat dan aktiviti kehidupan sehariannya. Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau." (HR Muslim)
Sumber: Harian Metro “Lailatul Qadar: Malam istimewa 1,000 bulan” (29 April 2021)
Comments
Post a Comment