MENJALIN SILATURRAHIM DALAM SUASANA AIDILFITRI NORMA BARU ADALAH TANDA KESEMPURNAAN IMAN


Apabila ada yang berkata Aidilfitri yang bakal tiba dalam masa seminggu lagi, inilah masanya untuk kita menjalinkan semula hubungan yang terputus sejak sekian lama. Pasti akan ada yang berkata “raya pun tak boleh, nak jalinkan silaturrahim macam mana?” Lupakah yang kita sudah memasuki dunia teknologi tanpa sempadan. Walaupun kita menyambut Aidilfitri dalam masa serangan wabak pandemik covid-19, kita masih tetap dan mampu menjalinkan semula silaturrahim yang sudah lama terputus.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” (HR Muslim)

Janganlah dek kerana pandemik, kita menjadikannya alasan untuk tidak menyambungkan kembali tali silaturrahim sesama umat Islam. Menjalinkan silaturrahim itu tidak semestinya harus berjumpa dan bertentang mata, kini dunia teknologi tanpa sempadan telah mendekatkan yang jauh. Gunakanlah pelbagai aplikasi yang ada untuk menyambungkan kembali tali silaturrahim yang mungkin sudah terputus sejak bertahun lamanya. Adakah kita semua tahu yang menjaga silaturahim itu adalah tanda-tanda seseorang itu beriman kepada Allah SWT? Kita mengaku bahawa kita beriman dengan Allah SWT, tetapi mengapa kita masih tetap mahu memutuskan silaturrahim?

Benar, sememangnya sudah menjadi tradisi sambutan Aidilfitri adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan keluarga, sahabat handai serta jiran tetangga dan masyarakat pelbagai agama dan bangsa di negara ini saling kunjung-mengunjung pada hari raya. Tetapi, penularan pandemik Covid-19 tidak mengizinkan tradisi ini diteruskan pada tahun ini. Walaupun tahun ini merupakan tahun kedua kita menyambut Aidilfitri secara norma baharu, tetapi ikatan silaturrahim itu tetap akan utuh selama-lamanya.

Oleh itu, eratkanlah jalinan silaturrahim sesama masyarakat dan keluarga walau dalam apa jua sekalipun di Aidilfitri kali ini. Jangan dibiarkan ia terputus begitu lama, kelak ia akan mengundang lebih banyak perpecahan di kalangan masyarakat dan mungkin juga boleh mengancam kesejahteraan negara. Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mereka takut kepada Rabbnya dan takut kepada hisab yang buruk.” (QS Ar-Ra’d: 21)

Sumber: Harian Metro “Jaga silaturahim tanda orang beriman”

Comments