PENYEBARAN AJARAN SESAT PERLU DIBENDUNG KERANA IA BUKAN SAHAJA MENYESATKAN AKIDAH UMAT ISLAM MALAH AKAN MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA
JAKIM telah mentakrifkan ajaran sesat sebagai:
“sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah berdasarkan ajaran Islam yang benar, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah’.
Penyebaran ajaran sesat boleh mempengaruhi dan menyesatkan umat Islam di negara ini yang lemah pegangan agamanya. Selain itu, ia juga boleh menghakis perpaduan dan keharmonian masyarakat di negara ini. Malah ajaran sesat pernah menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dalam masyarakat sebelum ini. Sebagai contoh, pada 7 Julai 1979, terdapat seorang individu yang mengaku sebagai Imam Mahdi telah mencederakan seorang imam di Masjid Rapat Setia, Ipoh, Perak. Selain itu, sebuah ajaran sesat pengikut Imam Mahdi telah menyerang Balai Polis Batu Pahat pada 16 Oktober 1980. Dalam satu peristiwa yang lain pula, serangan dan pencerobohan terbesar kumpulan ajaran sesat pernah dilakukan oleh kumpulan Al-Maunah terhadap Kem Batalion Askar Wataniah di Gerik, Perak pada 6 Julai 2000. Oleh itu, penyebaran ajaran sesat ini perlu dibendung segera supaya pengaruhnya tidak terus berkembang di negara ini yang dibimbangi akan memberi satu lagi ancaman kepada keselamatan negara ini.
Justeru itu, ajaran sesat bukan sahaja akan memberi kesan buruk terhadap individu, malah ia juga akan memberi ancaman yang lebih besar kepada keselamatan negara jika tidak dibendung dari sekarang.
Islam adalah agama yang mengatur sistem hidup yang lengkap yang meliputi segala aspek kehidupan manusia. Islam juga merupakan agama yang telah lengkap dengan perutusan Nabi Muhammad S.A.W sebagai nabi dan rasul terakhir. Oleh itu, sebarang dakwaan sama ada wujudnya kitab lain selain al-Quran, dakwaan kemunculan nabi baru, syariat baru, tafsiran baru pastinya merupakan ajaran menyeleweng dan sesat yang perlu dijauhi oleh umat Islam di negara ini.
Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa’, ayat 4:
Maksud: “Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAKIM
Comments
Post a Comment