AWAS, BAHAYA KELAB ATEIS REPUBLIK!!!GERAKAN ATEIS YANG SEMAKIN BERANI MEMPROMOSIKAN LGBT DAN MENGHINA AGAMA ISLAM DI NEGARA INI


Di Malaysia, isu berkaitan ateisme mula menjadi perhatian umum apabila media arus perdana melaporkan berkenaan perjumpaan golongan ateis di Kuala Lumpur pada tahun 2017 yang dikenali sebagai The Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur. Pertemuan ini menjadi satu isu kontroversi kerana ahlinya melibatkan sejumlah besar remaja Melayu Islam yang berasa bangga untuk menyertainya dan tanpa segan silu menghebahkan di media sosial masing-masing. 

The Atheist Republic Consulate atau Kelab Ateis Republik ini diasaskan oleh Armin Navabi yang dilahirkan di Iran dan kini menetap di Kanada, sekitar tahun 2012.  Kelab Ateis Republik ini merupakan sebuah badan tanpa keuntungan yang aktif memperjuangkan hak golongan ateis dan mempunyai konsulat (cawangan) di serata dunia termasuk Malaysia. Mereka melihat peluang penyebaran fahaman ateis melalui Kelab Atheist Republic ini terbuka luas di Malaysia apabila seorang tokoh liberal di Malaysia iaitu Marina Mahathir suatu masa dahulu telah mengeluarkan kenyataan dan melaksanakan tindakan mengalu-alukan sebuah badan peguam Islam untuk melindung hak asasi golongan ateis dalam menentang Rukun Negara untuk menjadi asas pada Perlembagaan Persekutuan. Kini Kelab Ateis Republik ini sangat aktif dalam mempromosi gerakan ateis di negara ini malah mereka secara terang-terang melakukan dakyah untuk menyesatkan umat Islam di negara ini yang lemah pegangan agama dan terpengaruh fahaman kebebasan Barat melalui media sosial dan pelbagai aktiviti yang lain.

Sehubungan itu, baru-baru ini tular pula di laman Facebook ‘Love of LGBTQ’ berkaitan satu lukisan grafik kaabah yang tertera tulisan ‘Allah is Gay’ yang dicetak pada sehelai t-shirt putih berlatar belakangkan lambang Atheist Republic. Paparan grafik ini dilihat bermotifkan penghinaan terhadap Allah dan cuba mencetuskan provokasi bagi menaikkan kemarahan masyarakat beragama Islam di Malaysia. 

Berdasarkan rumusan awal dalam beberapa kajian, golongan ateis di Malaysia kebanyakannya tidaklah memahami falsafah ateisme sebagaimana yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh ateis. Sebahagian mereka sekadar mengikut arus atau trend anak muda di Barat yang kelihatan ‘cool’ dengan status tidak beragama atau ateis. Apatah lagi sifat anak muda sememangnya suka kepada kebebasan tanpa sebarang kongkongan termasuklah bebas dalam soal agama dan kepercayaan. Maka, jalan pintas untuk kebebasan adalah memandu kehidupan berasaskan fahaman ateisme.

Memandangkan jumlah golongan ateis di Malaysia diwar-warkan semakin bertambah di samping turut mendapat sokongan oleh beberapa pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia, mereka dilihat semakin berani mengugut pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama agar tidak mengambil tindakan terhadap mereka.

Semua ini membuktikan bahawa gejala ateisme dikalangan masyarakat Melayu Islam kini berada pada tahap membimbangkan. Jika tiada sebarang usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh, diyakini jumlah ateis di Malaysia akan terus meningkat lebih ramai lagi pada masa hadapan. Perkara ini tidak seharusnya berlaku di bumi Malaysia yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor, Harakah Daily, 09 JUN 2021.

Comments