AWAS!!! JANGAN TERPENGARUH DENGAN AJARAN SESAT 'SI HULK' YANG MENDAKWA NABI MUHAMMAD SAW ADALAH TUHAN. NA'UZUBILLAHI MIN ZALIK.
Isu ajaran sesat merupakan satu isu yang amat penting kerana ia menyentuh kehidupan dan akidah seseorang muslim. Namun, masih terdapat ramai dalam kalangan umat Islam yang begitu mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat tersebut.
Golongan masyarakat yang terjebak dalam ajaran sesat kini bukan sahaja mereka yang miskin atau tidak mempunyai pelajaran, bahkan sangat menghairan ‘golongan kayangan’ dan professional turut mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang secara terangnya menyimpang daripada agama Islam yang sebenar.
Sebagai contoh, baru-baru ini tular kemunculan ajaran sesat pimpinan Suhaini bin Mohammad atau juga dikenali dengan nama Si Hulk yang mendakwa Nabi Muhammad s.a.w adalah Tuhan yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Beliau juga yang merupakan calon PhD dan pengasas kepada produk Si Hulk iaitu air hayat yang didakwa diperoleh dari Nabi Khidir menjadikan baginda mampu hidup hingga hari kiamat serta boleh digunakan untuk dalam pelaksanaan ritual menangkap jin ke dalam botol.
Melihat kepada perkembangan ajaran sesat yang semakin banyak bercambah bagaikan cendawan tumbuh, timbul satu persoalan setakat manakah ajaran sesat boleh memberi kesan kepada keislaman dan keimanan seseorang pengikut dan pengasas ajaran tersebut selain ia memberi ancaman yang cukup besar kepada masyarakat dan negara yang tercinta dari aspek keharmonian masyarakat dan keamanan negara.
Apa yang lebih menyedihkan apabila terdapat golongan professional bahkan pelajar-pelajar universiti yang mempunyai kemampuan untuk mengkaji dan mempertimbangkan perkara benar dan salah turut terpengaruh dengan ajaran yang dibawa oleh Si Hulk walaupun ternyata kebenarannya jauh terpesong dengan ajaran Islam sebenar.
Sedarlah bahawa sesiapa yang terbabit dalam kancah ajaran sesat, akidahnya akan terjejas iaitu ia boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus bukan sahaja dalam kesyirikan, malah boleh menyebabkan seseorang itu murtad iaitu terkeluar daripada Islam dan termasuk dalam kalangan orang yang kafir.
Sumber: Berita Harian, 30 Mei 2021 dan Jurnal Usuluddin Bil 26 [2007] 1-22, Universiti Darul Iman Malaysia
Comments
Post a Comment