BAHAYA FAHAMAN ISLAM LIBERAL!!!MEMPERTAHANKAN HAK KEBEBASAN INDIVIDU UNTUK MELAKUKAN DOSA DAN MAKSIAT ADALAH FAHAMAN YANG BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM


Islam liberal merupakan aliran pemikiran moden yang didakwa berjaya mensinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran Barat. Pandangan bahawa seseorang itu berhak untuk bebas melakukan apa sahaja dalam ruang peribadi mereka adalah idea yang muncul seiring dengan kemunculan fahaman liberal yang dipelopori oleh pemikir Barat.

Menurut fahaman Islam Liberal, seseorang itu bebas untuk melakukan apa sahaja yang dianggapnya benar, meskipun bertentangan dengan agama dan nilai akhlak kerana itu adalah hak mutlak individu termasuklah kesalahan zina, khalwat, menukar jantina, LGBT, perkahwinan sejenis dan sebagainya.

Sedangkan dalam ajaran Islam yang benar, tiada isitilah dan konsep dosa peribadi dan dosa awam. Pemisahan antara dua jenis dosa ini adalah suatu bid’ah yang bukan ajaran agama Islam dan merupakan perbuatan yang sangat tercela.

Kita tidak boleh menganggap dosa-dosa peribadi seperti yang dinyatakan di atas itu tidak menjejaskan kesejahteraan manusia di dunia. Setiap kesalahan itu telah ditetapkan hukumannya dalam Islam pasti memberi kesan yang buruk bukan sahaja kepada individu malah turut menjejaskan masyarakat secara kolektif. Malah menjadi kewajipan bagi setiap anggota masyarakat menghalang individu Muslim yang melakukan dosa sebagai melaksanakan perintah Allah untuk menjalankan 'amar makruf nahi mungkar' (menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran).

Jarum halus fahaman liberal ini sebenarnya telah berjaya mempengaruhi ramai orang Islam termasuk para cendekiawan sehingga mereka tidak lagi melihat dari kacamata ajaran Islam yang benar, bahkan cuba bersetuju ideologi yang dibawa oleh golongan liberal dengan membawa nas daripada al-Quran dan Sunnah dan ditafsirkan mengikut logik akal demi membenarkan idea yang keliru itu. Akibatnya yang salah akan kelihatan benar dan yang benar akan kelihatan salah sehingga ia mempengaruhi masyarakat Islam terutamanya yang jahil agama. 

Justeru itu, tiada istilah (dosa awam, dosa peribadi. Umat Islam wajib menolak sebarang usaha untuk merosakkan pemikiran umat Islam melalui pemikiran liberal yang bersumberkan pemikiran sekularisme Barat sehingga boleh menggugat akidah umat Islam di negara ini. Kita juga hendaklah memelihara diri daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat, sama ada dosa yang nyata atau tersembunyi kerana hukumnya adalah sama walau dimana kita berada.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu

Comments