ISU MEMBURUK-BURUKKAN VAKSIN COVID-19. JANGAN MENJADI PENGADU DOMBA KERANA IA ADALAH PERBUATAN YANG HARAM DAN BERDOSA BESAR
Di kala serangan pandemik Covid-19 semakin berleluasa, semakin ramai pula golongan yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja cuba mengadu-dombakan sesuatu perkara hanya kerana ingin memburukkan lagi keadaan. Berkemungkinan mereka ini mempunyai masalah hati yang amat kronik akibat tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh rakyat dan Kerajaan dalam usaha mengekang wabak ini.
Bermula dengan kaitan serangan pandemik ini dengan teori konspirasi hingga mengaitkan kewujudan vaksin beracun seperti yang digembar-gemburkan. Akibatnya, segala usaha Kerajaan untuk menyelamatkan rakyat negara ini tergendala seketika akibat hasutan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Siapa sebenarnya yang berkonspirasi? Pihak yang mahukan keselamatan bagi kesemua rakyat atau pihak yang meracuni minda rakyat dengan ‘dakyah’ dan ‘kajian’ sesetengah golongan yang tidak jelas? Sabda Rasulullah SAW:
“Dua orang (yang berada dalam kubur ini) disiksa, tapi bukan disiksa kerana melakukan dosa besar. Ya, salah seorang daripada keduanya itu tidak bersuci dengan bersih setelah berkencing, sementara yang satu pula berjalan (di kalangan manusia) dengan mengadu domba.” (HR Bukhari)
Perbuatan mengadu domba ini adalah suatu perbuatan yang HARAM dan BERDOSA BESAR. Ia bukan sahaja menyebarkan berita palsu malah dengan berita yang tidak benar dan menakut-nakutkan orang ramai, akan menyebabkan usaha pihak kerajaan untuk memerangi covid-19 dan melindungi rakyat di negara ini akan gagal. Sementara itu, Rasulullah SAW memberi ancaman yang keras terhadap pengadu domba. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba" (HR Muttafaq 'alaih).
Di akhir zaman ini, ramai yang cuba menjadi asatizah ‘jadi-jadian’ dan golongan ‘perubatan’ yang tidak bertauliah dengan menyebarkan fahaman sendiri untuk kepuasan diri. Maka dengan itu, sentiasalah bertabayyun dan selidik tentang kebenaran sesuatu perkara itu. Dari Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Jauhilah daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk merupakan dusta yang besar.” (HR Bukhari)
Asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin R.A berkata:
"Hendaklah seseorang berwaspada terhadap orang yang suka mengadu domba, kerana sesungguhnya orang yang suka menyampaikan kepadamu celaan orang lain terhadapmu, dia juga akan menyampaikan kepada mereka celaanmu terhadap mereka." (Kitab Adh-Dhiya' al-Lami': 293)
Sumber: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment