JADIKAN 'LOCKDOWN' INI SEBAGAI MASA UNTUK MENINGKATKAN KESABARAN, REDHA DAN TABAH MENGHADAPI UJIAN DARIPADA ALLAH SWT


Setelah pengumuman total lockdown yang diumumkan oleh Kerajaan pada Jumaat lalu, ramai di antara kita yang merasa bimbang dan terkesan dengan nasib yang bakal menimpa. Jikalau total lockdown dilaksanakan, adakah ia sama seperti yang pertama? Adakah kehidupan rakyat akan terkesan dengan kehilangan punca pendapatan akibat daripada lockdown ini? Apa yang pasti, sebagai umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah, kita hendaklah yakin bahawa apa yang berlaku adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT dan sentiasa bersabar dan redha dengan apa yang ditakdirkan Allah tersebut. Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan kerana kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS Al – Baqarah: 155)

Ingatlah, Allah SWT tidak akan menguji hambaNya diluar kemampuan mereka. Allah SWT mahu melihat sejauh mana kesabaran kita dalam menempuhi ujian dan dugaan yang amat berat ini supaya kita sedar yang Dia masih berkuasa dan berhak memberi dan mengambil apa sahaja yang dipinjamkan kepada kita. Dalam kita menghadapi lockdown, apa yang kita perlu lakukan adalah:

1. Insaf bahawa Allah menguji kita 
2. Sabar & redha 
3. Kurangkan merungut/berkeluh kesah 
4. Elakkan menuding jari 
5. Patuhi SOP sepenuhnya 
6. Saling merangsang/memotivasi 
7. Perbanyak istighfar/berdoa 
8. Yakin bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu kita, In syaa Allah.

Anggap sahaja Covid-19 ini adalah teguran daripada Allah SWT kerana kita ini sudah terlalu jauh daripadaNya. Ketahuilah, melalui ujian Covid yang Allah turunkan ini, Allah SWT mahu kita beribadah, menangis memohon keampunan dan kembali ke jalan hidup Islam yang sebenar. Maka dengan itu, kembalilah kepada agama kita dan berusahalah menjadi Muslim yang sebenar-benarnya dengan memperbanyakkan ibadah dan amalan-amalan yang mulia agar kita mendapat ganjaran syurga daripada Allah SWT. Diriwayatkan dari Abu Sa'id Al Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:

"Siapa yang sungguh-sungguh berusaha untuk bersabar maka Allah akan memudahkan kesabaran baginya. Dan tidaklah seseorang dianugerahkan (oleh Allah SWT) pemberian yang lebih baik dan lebih luas (keutamaannya) daripada (sifat) sabar." (HR Bukhari)

Sumber: Harian Metro (1 April 2020)

Comments