Seiring dengan peredaran zaman dan perjalanan waktu, ramai di antara kita yang sudah lupa untuk mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama kita umat Islam. Tahukah kita bahawa menjadi hamba Allah SWT akan memperkuatkan lagi iman di dalam diri kita? Firman Allah SWT:
"Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mereka takut kepada RabbNya dan takut kepada hisab yang buruk." (QS Ar - Ra'd: 21)
Ayat di atas sudah terang lagi nyata bagaimana Allah SWT memberi amaran kepada hambaNya bahawa sesiapa yang tidak berusaha untuk menyambungkan silaturahim atau memutuskan silaturahim, maka seseorang itu tidak akan masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan)" (HR Muslim).
Walaupun secara khusus hadis ini menyebut tentang hubungan silaturahim antara kaum keluarga, namun ia juga membawa maksud yang lebih umum iaitu tidak memutuskan hubungan sesama umat Islam. Adapun mengeratkan silaturahim ini merujuk kepada perihal berbuat baik sesama umat manusia, bertolong-tolongan, bersikap lemah lembut, nasihat menasihati dan saling menjaga perasaan.
Maka dengan itu, sebagai umat Islam kita wajib membuang segala sifat mazmumah seperti berprasangka buruk, memfitnah, hasad dengki dan saling membenci.
Jadilah hamba Allah SWT yang bersaudara dengan mengukuhkan lagi tali silaturahim sesama umat Islam. Seharusnya di waktu genting seperti sekarang, umat Islam perlu menguatkan hubungan persaudaraan sesama agama demi melindungi saudara-saudara kita yang di dalam kesusahan. Dengan bersatu-padu umat Islam akan menjadi lebih kuat.
In syaa Allah, apabila kita menjaga hubungan persaudaraan sesama Islam, Allah SWT akan melipat gandakan rezeki kita dan segala urusan kita dipermudahkan olehNya. Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang ingin ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah dia menyambungkan tali silaturahim." ( HR Bukhari dan Muslim)
Sumber: Harian Metro (13 Jun 2019)
Comments
Post a Comment