JADILAH SEORANG MUSLIM YANG KAYA (HATINYA) AGAR MEMPEROLEHI KECINTAAN DAN REDHA ALLAH SWT


Apa yang dimaksudkan dengan menjadi seorang Muslim yang “kaya”? Adakah kaya dari segi harta-benda, wang ringgit atau lambakan pangkat yang diperolehi? Ketiga-tiganya bukan. “Kaya” yang dimaksudkan pada pandangan Islam adalah “kaya” dengan hati yang bersih, bercahaya dan menjadi penggerak kepada ‘amal maaruf dan nahi mungkar’. Dari Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW baginda bersabda: 

“Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati”. (HR Bukhari: 5965).

Dari hadis tersebut, kekayaan hakiki bukanlah terletak pada harta yang banyak tetapi kekayaan hakiki itu apabila seseorang itu:
- Merasa cukup atau puas (qona'ah) dengan apa yang Allah SWT berikan.
- Memiliki hati yang kaya dengan sifat mulia, terpuji dan dermawan.
-  Hati yang tidak memiliki sifat kedekut dan kikir.
-  Hati yang sentiasa berakhlak mulia dalam setiap perbuatan sama ada dalam perhubungannya dengan Allah SWT mahupun sesama manusia.
-  Sentiasa memenuhi hajat orang lain meskipun dia sendiri memerlukan.

Cuba lihat keadaan di sekeliling kita pada ketika ini, tidak teratur serta kacau bilau sejak pandemik Covid-19 menyerang dunia lebih setahun yang lalu. Ramai yang terjejas akibat daripada pandemik tersebut hinggakan ada yang mengambil jalan mudah untuk mengakhiri hidup mereka sendiri. Sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh dengan panduan al-Quran dan As – Sunnah, apa yang perlu kita lakukan? Seharusnya dalam hal ini, kita hendaklah sama-sama berganding bahu dan membantu saudara-saudara kita yang sedang menghadapi kesukaran dalam hidup.

Walaupun tidak membantu secara mewah, namun dengan sedikit sumbangan dapat memberikan senyuman kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. Seberapapun kayanya hidup kita, ia sama sekali tidak bermakna jika kita tidak dicintai Allah SWT. Berhadapan dengan ujian harta yang banyak bukanlah hal yang mudah. Maka dari itu banyak di antara kita yang mempunyai banyak harta akhirnya lalai dan terjerumus ke dalam kemaksiatan. 

Jadi, sekiranya kita mempunyai sedikit lebihan harta maka pergunakanlah ia ke jalan yang benar. Ini kerana di dalam rezeki kita terdapatnya rezeki orang lain. Dengan menginfaqkan sedikit harta kita ke jalan kebaikan, kita sudahpun dipandang sebagai Muslim yang “kaya” pada pandangan Allah SWT. Orang yang kaya hatinya tidak akan berkira untuk menyumbangkan apa yang dimilikinya dan sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk memanfaatkan kekayaannya bagi membangunkan agama dan umatnya dan dia juga tidak jemu  berusaha menambah harta bagi disumbangkan kepada jalan kebaikan sehingga ke akhir hayatnya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah mencintai hamba-Nya yang bertakwa, yang kaya (berkecukupan), dan tidak menampakkannya.” (HR Muslim)

Sumber: DakwahdanTarbiah.com dan Islampos.com

Comments