Tidak dinafikan penggunaan media sosial pada zaman ini boleh dikira satu keperluan hidup. Manakan tidak, dengan gajet teknologi inilah kita dapat menghubungkan jarak perhubungan antara satu sama lain dengan jarak yang jauh. Bukan itu sahaja, penggunaan media sosial juga boleh dikira sebagai tempat simpanan segala kenangan. Namun apa yang menyedihkan, media sosial kini menjadi tempat kebanyakan manusia menghamburkan segala makian, cacian, hinaan dan pelbagai perbuatan mazmumah yang lain, nauzubillahiminzalik! Rasulullah SAW bersabda:
"Tidaklah manusia tersungkur di neraka di atas wajah mereka atau di atas hidung mereka melainkan dengan sebab lisan mereka." (HR at-Tirmizi).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW juga bersabda:
“Keselamatan manusia tergantung kepada kemampuannya menjaga lisan.” (HR Bukhari)
Bukan bertujuan untuk menakutkan, tetapi pernah tak kita sedar bahawa seringkali terjadinya jenayah pembunuhan atau penganiayaan adalah disebabkan lisan? Ya, ia benar walaupun tidak secara keseluruhannya tetapi boleh dikatakan punca sebenarnya adalah melalui lisan seseorang yang tidak dijaga. Ramai di antara kita yang tidak menjaga adab dalam lisan mahupun penulisan di media sosial hingga mengundang amarah masyarakat. Pada mereka, inilah kebebasan bersuara. Ini bukan kebebasan bersuara, ini kebebasan menghina! Islam tidak mengajar kita menegur dengan cara menghina dan mencarut walaupun niat asalnya mahu menegur. Jika begini kejadiannya, kita bukan mengundang rahmat tetapi kemurkaan Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA berkata, pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya si Fulanah rajin solat sunat malam, puasa di siang hari, mengerjakan (berbagai kebaikan) dan bersedekah, Cuma ia suka mengganggu para tetangganya dengan lisannya?”. Bersabda Rasulullah SAW, “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka”. Mereka bertanya lagi, “Sesungguhnya si Fulanah (yang lain) mengerjakan (hanya) solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah mengganggu seorangpun?”. Bersabda Rasulullah SAW, “Dia termasuk penghuni syurga”. (HR Bukhari)
Ingatlah, walaupun kita ini mengaku Islam, rajin bersolat, rajin berdakwah mahupun rajin bersedekah, tetapi apabila kita tidak menjaga lisan kita, pada pandangan Allah SWT kita ini ‘kosong’. Segala amalan kita tidak akan diterima melainkan kita ini kembali bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT dan juga kepada orang yang kita berbuat salah kepadanya. Orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat sangat menjaga adab dan akhlaknya termasuklah adab perbuatan mahupun lisan. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakawalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.” (QS Al – Ahzab: 70)
Sumber: Twitter/ Pelita Al – Qur’an
Comments
Post a Comment