JAUHI TEKNIK GARPU TALA (TEKNIK BUKA AL-QURAN SECARA ‘RANDOM’ BAGI MENDAPATKAN JAWAPAN ATAS PERMASALAHAN YANG DIHADAPI) KERANA IA AMALAN YANG DIREKA-REKA DAN MENYAMAI AJARAN SYIAH.


Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad sekali lagi mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat apabila dengan tanpa segan silu mengamalkan, mempertahankan dan menyebarkan teknik ‘Garpu Tala’ kepada masyarakat walaupun beliau mengetahui ramai ilmuan agama mengkritik amalan tersebut.

Teknik ‘Garpu Tala’ ini diistilahkan sebagai istikharah dengan al-Quran secara ‘random’ untuk mendapat jawapan kepada permasalahan yang kita sedang hadapi. Perbuatan ‘Garpu Tala’ ini menyamai amalan Syiah yang disebut sebagai 'Istikharah  Bil Quran'. Para ulamak Ahli Sunnah menghujahkan bahawa perbuatan ini termasuk di bawah perbuatan bid’ah-bid’ah berkaitan dengan al-Quran dan merupakan amalan yang diada-adakan.

Tiada masalah membuka al-Quran secara ‘random’ jika diniatkan ialah membaca untuk mendapat pahala atau niatnya untuk mengambil peringatan dan motivasi daripada mana-mana ayat al-Quran. Namun, ianya akan menjadi masalah apabila al-Quran dibuka secara ‘random’ dengan keyakinan Allah akan memberi jawapan ‘direct’ kepada permasalahan yang kita sedang hadapi. Lebih bermasalah lagi apabila keyakinan itu dijelmakan sebagai ‘teknik’ lalu diajarkan kepada masyarakat awam tanpa ada penerangan lanjut berdasarkan hadis-hadis berkaitan.

Ada pula ajaran dalam teknik ‘Garpu Tala’ ini menyatakan jika mahu jawapan daripada Allah lebih cepat, maka perlu ‘feeling’ lebih sikit agar halaman yang terbuka lebih tepat dengan permasalahan. Lalu diamalkan pengikut-pengikut dengan tanggapan semua ayat Allah yang ‘random’ itulah pengajarannya atau jawapannya. 

Sebagai contoh, seseorang yang sudah lama menghadapi masalah rumahtangga. Lalu dia mengamalkan teknik buka al-Quran ‘random’. Didapati jari telunjuk menunjukkan ke arah ayat hukum surah an-Nisa ayat 34. Lalu dia menampar wajah isterinya dengan keyakinan itulah jawapan daripada Allah. Atau dia terbuka surah al-Tahrim ayat 5, lali doa menceraikan isterinya kerana meyakini itulah jawapan daripada Allah kepadanya, difahaminya ayat isyarat Allah akan menggantikannya dengan isteri yang lebih baik.

Kadangkala kita hendak jawapan segera daripada Allah dengan menggunakan teknik buka al-Quran secara ‘random’, namun kita terlupa dosa kita masih bertimbun tanpa istighfar sedangkan istighfar itu sendiri kunci penting membuka khazanah rezeki dan jawapan daripada Allah.

Antara sebab 'isti’azah'  diperintahkan sebelum kita membuka al-Quran kerana adanya gangguan syaitan dalam bentuk bukan salah bacaan, tetapi salah tafsiran. Salah tafsiran salahlah tadabburannya. Dunia tafsir membuktikan ulamak Syiah menulis tafsir, ulamak Muktazilah menulis tafsir dan pelbagai ajaran sesat pun mempunyai ulamanya yang tersendiri menulis tafsir. Oleh itu, berhati-hatilah, semoga Allah SWT terus membimbing kita kembali kepadaNya dengan jalan yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW dan dipraktikkan sebaik-baiknya generasi al-Quran terdahulu.

Sumber: gemilangdaily.com dan abufarahi.school.blog

Comments