PENCEGAHAN PENULARAN COVID-19 BERDASARKAN KAEDAH USUL FIQH “DAR ‘UL MAFASID MUQADDAM ALA JALBI MASOLIH” (MENCEGAH KEROSAKAN LEBIH UTAMA DARIPADA MERAIH KEBAIKAN)SIAPA DAN APA TUJUAN HIZBUT TAHRIR MEMPERTIKAIKAN PRINSIP SYARIAH YANG DIPERSETUJUI OLEH SEMUA ULAMA DUNIA ITU???
Hizbut Tahrir telah menggunakan beberapa pendekatan dalam mengembangkan pengaruh mereka. Antaranya ialah dengan menerapkan pemikiran Islam mengikut fahaman mereka dalam masyarakat Islam secara beransur-ansur tanpa menggunakan kekerasan.
Di Malaysia, kebanyakan aktiviti yang dijalankan adalah berbentuk ilmiah, menganalisis isu-isu semasa terutamanya berkaitan politik seperti membincangkan perihal keputusan kerajaan atau pemerintah dalam memutuskan sesuatu perkara. Kebanyakan keputusan yang dibuat oleh pemerintah dipertikaikan dan ditentang kerana bagi mereka ia tidak mengikut sebagaimana pemerintahan di zaman Khalifah.
Sebagai contoh baru-baru ini Hizbut Tahrir Malaysia telah mengadakan aktiviti menerusi Facebook Live yang mengupas tajuk “Kaedah Fiqhiyyah tangani Covid: Di mana salahnya?” Facebook Live ini dibuat kononnya untuk membantah rentetan daripada fatwa yang dikeluarkan oleh kerajaan yang menggunakan kaedah fiqhiyyah “ Dar ‘ul Mafasid Muqaddam ala Jalbi Masolih” (Menghindari keburukan lebih diutamakan daripada meraih kebaikan) terhadap perintah mengehadkan bilangan jemaah untuk solat Jumaat atau solat berjemaah di masjid, perintah menjarakkan saf ketika solat dan memakai pelitup muka bagi menghindari penularan wabak COVID-19.
Hizbut Tahrir juga mengatakan bahawa kerajaan mengamalkan ‘double standard’ kerana tidak menggunakan kaedah fiqhiyyah yang sama terhadap mereka yang beramai-ramai ke Pusat Pemeriksaan Vaksin (PPV), pusat beli-belah dan pelbagai lagi tempat awam yang lain. Kenyataan ini memperlihatkan Hizbut Tahrir sebenarnya membuat tuduhan membuta-tuli kerana jika kita merujuk kepada SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan, semua tempat awam dikenakan pelbagai sekatan dan had bilangan kehadiran atas alasan yang sama iaitu untuk menjaga nyawa dan kemaslahatan umat.
Cuba bayangkan sekiranya kita tidak mencegah dari awal, maka sudah tentu kerosakan yang berlaku adalah lebih besar. Hal ini menunjukkan alasan Hizbut Tahrir yang menyatakan kaedah fiqhiyyah ini bukan daripada dalil atau sumber hukum sebagai asas kepada pihak kerajaan untuk mengeluarkan sesuatu perintah kepada masyarakat adalah tidak masuk akal.
Sedangkan perbahasan tentang ketetapan berdasar usul fiqih ini telah dibuat dengan jelas oleh Menteri Agama, Jabatan-jabatan Agama,
NGO-NGO agama, ustaz-ustaz tertentu yang boleh diperolehi di laman-laman web yang berkaitan dan di Youtube. Malah fatwa dan penjelasan ulama terkenal dunia termasuk ulama di Arab Saudi, Mesir dan lain-lain telah dibuat dengan begitu jelas. Siapa dan apa kredibiliti Hizbut Tahrir yang begitu lantang mengkritik langkah kerajaan dalam mencegah penularan covid ini, sehingga berani mempertikaikan kaedah usul fiqh yang dibincangkan dan difatwakan oleh ulama bukan saja di negara ini, malah ulama tersohor dunia? Apa tujuan mereka sebenarnya?
Oleh itu, janganlah mudah terpengaruh dengan analisis atau diskusi-diskusi ilmu yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir. Walaupun memang benar seseorang individu itu mungkin seorang yang anti kerajaan, namun perkara yang melibatkan agama dan hukum hakam ini adalah perkara yang bukan diputuskan oleh sembarangan orang. Perkara ini secara jelasnya telah dibincangkan oleh mereka yang benar-benar layak dalam bidangnya (para ulamak) Malaysia mahupun jumhur ulamak sebelum diputuskan sesuatu fatwa yang diletakkan di bawah kerajaan bagi diimplementasikan kepada rakyat. Justeru itu, hakimilah sesuatu perkara itu berdasarkan iman, bukan berdasarkan parti politik.
Sumber: Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Facebook Hizbut Tahrir Malaysia
Comments
Post a Comment