PERGERAKAN HIZBUT TAHRIR IBARAT ‘BOM JANGKA’ RADIKALISME YANG PERLU DIPANTAU SEBELUM MELETUS UNTUK MEMUSNAHKAN NEGARA
Hizbut Tahrir seperti yang telah diketahui umum merupakan organisasi transnasional yang mereka dakwa dilahirkan dengan tujuan untuk membangkitkan kembali umat Islam daripada kemerosotannya yang parah, membebaskan umat Islam dari cengkaman idea, sistem perundangan dan sekularisma. Kemudiannya mereka bergerak untuk bersama-sama membangun kembali Daulah Islamiyah di muka bumi dalam naungan Khilafah Islamiyah ‘ala Minhaj al-Nubuwah’ untuk mempraktikkan hukum-hukum dan syariat Islam berdasarkan wahyu Allah s.w.t.
Hizbut Tahrir merupakan gerakan Islam Transnasional yang paling spektakular berbanding dengan gerakan yang lain. Dalam beberapa tahun sahaja semenjak pertubuhannya, Hizbut Tahrir telah mula berani memunculkan identiti sebenar bukan sahaja di Malaysia malah juga di seantero dunia.
Jika dilihat dari tujuan ini sudah tentunya sesiapapun harus setuju dan mendukung cita-cita yang sedemikian. Namun, disebalik agendanya itu, pergerakan Hizbut Tahrir masih mempunyai beberapa ideologi yang tidak selari dengan pemahaman majoriti umat yang beragama Islam khususnya dalam konteks rakyat Malaysia iaitu fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Hal inilah yang menyebabkan beberapa negeri di Malaysia mengambil langkah untuk mengharamkan pergerakan Hizbut Tahrir. Dikhuatiri pergerakan tersebut bukan hanya berdakwah dengan jalan yang biasa, tetapi sebaliknya mula mengumpulkan anggota dan mendapat sokongan rakyat khususnya yang mana akhirnya terarah untuk menjalankan aksi yang lebih ganas demi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Hal ini boleh kita lihat bagaimana pergerakan Hizbut Tahrir di Indonesia dan beberapa negara luar yang lain yang mula bertindak ganas melakukan aksi demonstrasi dan lain-lain, setelah pergerakan mereka mula berkembang dan membesar.
Sebagai langkah berjaga-jaga, sudah pasti pasukan keselamatan negara perlu sentiasa memantau pergerakan Hizbut Tahrir ini setiap masa kerana jika tidak dikenalpasti dan dikawal dari awal lagi, dikhuatiri ia akan menjadi seperti bom jangka yang akhirnya memusnahkan keharmonian negara.
Sumber: Jurnal Islamuna, Volume 2(1), Jun 2015.
Comments
Post a Comment