SUHAKAM INGIN IKTIRAF 'GENDER KETIGA'?SATU AMARAN TENTANG BAHAYANYA FAHAMAN LIBERAL YANG SEMAKIN BERKEMBANG DAN SEMAKIN BERANI MENCABAR KESUCIAN AGAMA ISLAM


Fenomena di Malaysia yang memperlihatkan peningkatan golongan berfahaman liberal adalah bukan sesuatu yang baru. Semakin hari mereka semakin berani untuk membuat provokasi terhadap pelbagai isu bagi mempertahankan pendirian mereka kononnya atas asbab hak asasi kemanusian.

Sebagai contoh baru-baru ini tular isu bantahan yang dikemukakan oleh lebih 150 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menawarkan penyelidikan pengiktirafan gender ketiga. 

Selain itu, kenyataan Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus menyatakan isu transgender adalah satu ‘medical condition’ yang tidak dapat dirawat dan akan membelenggu individu itu seumur hidup adalah sangat mengecewakan dan jelas menyimpang daripada ajaran Islam dan undang-undang. 

Perkara ini jelas memperlihatkan bahawa SUHAKAM sebagai sebuah pertubuhan kerajaan tidak sensitif dengan nilai-nilai moral dan agama yang dipegang Malaysia sebagai sebuah negara Asia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan negara mengikut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Secara tidak sedar pihak SUHAKAM telah membawa elemen berfahaman liberal dan  cuba membentuk undang-undang serta menyokong pengiktirafan jantina ketiga kerana ternyata:

i- Dapatan kajian dan kaedah menyampaikan dapatan kajian bertentangan dengan agama, budaya dan undang-undang Syariah; 

ii- SUHAKAM menentapkan bahawa apa pun dapatan kajian, ia mestilah menjadi asas membentuk “Law Reforms” atau meminda undang-undang sedia ada ke arah pengiktirafan transgender sebagai gender ketiga di Malaysia;

iii- Laporan kajian juga mestilah mengandungi rekomendasi kepada kerajaan untuk membentuk undang-undang bagi pengiktirafan transgender dengan membenarkan penukaran nama dan identiti jantina pada dokumen pengenalan diri; dan

iv- Laporan kajian juga mestilah mencadangkan penggubalan polisi dan undang-undang semasa ke arah pengiktirafan gender ketiga.

Hujah bagi mereka yang berfahaman liberal sering menyatakan bahawa masyarakat tidak boleh menidakkan hak asasi individu itu (transgender) kerana mereka dilahirkan begitu dengan ‘jiwa’ yang bertentangan dengan fitrahnya dan perlu diuruskan ‘jiwa’nya supaya tidak merosakkan diri dan masyarakat.

Kita sebagai umat Islam sudah sangat maklum sekiranya semua perkara boleh dilakukan dengan menggunakan hujah ‘jiwa’ nescaya huru-hara dan kucar-kacirlah dunia kerana kita perlu meraikan segala jenis benda haram yang menjadi kecenderungan manusia. Maka, apakah akan jadi pada ketamadunan manusia dan intitusi rumah tangga. Jangan disebabkan ingin mengikut trend dan mengidolakan Barat, agama dilupakan. 

Ambillah iktibar daripada pelbagai kisah yang telah berlaku di zaman nabi, pelbagai bencana yang telah menimpa dunia sebagai pengajaran dan batas pada diri untuk melakukan dosa sementara masih diberi kesempatan untuk bertaubat.

Sumber: Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MASCA), Berita Harian- 19 JUN 202, Harian Metro- 17 JUN 2021

Comments