AWAS, JANGAN TERPENGARUH DENGAN AGENDA MURTAD GOLONGAN LIBERAL!!!MURTAD BUKANLAH HAK KEBEBASAN INDIVIDU TETAPI IA SATU JENAYAH AKIDAH YANG MENGANCAM KESUCIAN ISLAM
Kita perlu fahami kenapa Islam menganggap keluar agama Islam itu adalah satu jenayah akidah yang berat dan kita juga perlu fahami mengapa agama lain membenarkan penganutnya berpindah ke agama lain. Adakah kerana agama lain lebih toleransi dari Islam dari sudut itu?
Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah. Segala perintah dan laranganNya adalah berdasarkan neracaNya secara mutlak tanpa ada ruang campur tangan manusia. Keluar dari agama Islam bermaksud murtad yang mana di dalam al-Quran dan hadis jelas menunjukkan murtad adalah jenayah berat yang akan dikenakan hukuman yang berat (mati).
Menganut agama Islam bermaksud memberi intima’ (penggabungan) dan wala’ (kesetiaan) kepada Islam dan umatnya. Dari titik tolak intima’ dan wala’ inilah umat Islam saling membantu antara satu sama lain, menjaga maruah, mempertahankan dari sebarang ancaman dan apa jua anasir jahat yang cuba merosakkannya. Mereka juga saling menjaga kerahsiaan sesama mereka dari bocor ke pendengaran musuh umat Islam dan banyak lagi implikasi lain hasil dari intima’ dan wala’ tersebut.
Keluar dari agama Islam atau murtad tidak akan berlaku kecuali setelah orang yang murtad tersebut merungkai intima’ dan wala’nya kepada agama Islam. Tepatlah apa yang disebut Rasulullah SAW berkenaan orang yang murtad akan keluar dari ikatannya dalam masyarakat Islam (hilang intima’ dan wala’nya). Kemudian dia akan bergabung dengan kumpulan bukan Islam dan memberikan kesetiaan di situ dan akhirnya terdedahlah segala rahsia dalaman umat Islam.
Oleh sebab itu, murtad adalah jenayah akidah yang besar. Walaupun ulamak khilaf kepada hukumannya sama ada hudud atau takzir, tetapi ulama bersepakat bahawa ia adalah jenayah yang perlu dikenakan hukuman yang berat. Sebagai umat Islam, ambillah neraca syarak itu dalam melihat isu murtad. Janganlah biarkan diri kita diasak oleh golongan liberal sehingga akhirnya menganggap bahawa murtad hanyalah hak individu dan kalau berlaku, itu hanyalah kes peribadi sahaja.
Sumber: ismaweb.net
Comments
Post a Comment