BENTENGI DIRI DARIPADA DIPENGARUHI AJARAN SESAT DENGAN MEMPERKUATKAN IMAN DAN AKIDAH


Islam ialah agama yang berpaksikan kepada akidah iaitu mengesakan Allah S.W.T. Ianya adalah agama fitrah yang lurus dan benar kerana menyediakan garis panduan untuk pedoman hidup manusia berdasarkan kepada wayhu Allah S.W.T melalui utusan-Nya Nabi Muhammad S.A.W. Dalam waktu yang agama ini tidak bertentangan dengan akal manusia sekaligus mengandungi formula memelihara aqidah setiap muslim.

Namun, kadang kala akal manusia tidak dapat tidak dibayangi oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan telah menyesatkan mereka yang tidak mempunyai keyakinan mantap. Oleh yang demikian, sejak dahulu hingga kini, terdapat juga golongan manusia yang pada namanya Islam tetapi aqidah mereka terpesong daripada pegangan agama fitrah ini. Golongan ini mendakwa berada di atas paksi Islam yang benar tetapi sebalinya mereka terjebak dalam kancah kesesatan yang amat nyata. Sepatutya sebagai seorang muslim, perkara asas terutamanya akidah dan syariah perlu digenggam erat walaupun pahit dan getir yang terpaksa dihadapi. 

Di Malaysia, terdapat segelintir masyarakat kita menerima pengaruh yang kuat daripada tradisi ‘world view’ masyarakat negara tetangga iaitu Indonesia melalui aliran-aliran kepercayaan mencampur-adukkan antara tradisi kepercayaan lama dengan tradisi Hindu Buddha yang kemudiannya diselitkan dengan unsur-unsur Islam. Kajian mendapati bahawa ajaran sesat atau salah yang dinisbahkan kepada Islam adalah merupakan satu manifestasi yang bermula dengan gejala mencemarkan kesucian agama Islam melalui fahaman-fahaman atau amalan-amalan yang bertentangan dan menyeleweng dari syariat Islam sebenar.

Justeru itu, kekuatan Iman dan akidah adalah benteng terakhir yang mesti ditembusi oleh pengikut dan pengasas ajaran sesat ini. Hanya dengan iman dan akidah yang teguh dan benar sahaja akan terselamat daripada pengaruh ancaman-ancaman tersebut. Oleh yang demikian beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya akan memberi kepuasan dan kebersihan hati dan fikiran seterusnya akan melahirkan sifat taqwa serta membantu seseorang itu menjalani kehidupan ini dengan mengikut jalan yang lurus. 

Dalam hal ini kerjasama amat diperlukan dari semua pihak termasuk orang awam, pihak berkuasa agama dan juga agensi persekutuan, kerajaan negeri dan ahli politik agar dapat sama-sama meletakkan agenda pembasmian ajaran sesat dalam masyarakat kita sebagai keutamaan pada masa kini. Ini kerana dalam agama Islam, konsep amar makruf nahi munkar menuntut sumbangan dari semua pihak dan perlu dilihat secara menyeluruh. Ia bukan tugas pihak berkuasa semata-mata, malah itulah peranan setiap individu muslim dalam melaksanakan tanggungjawab hidup bermasyarakat.

Sumber: Jurnal Penyelidikan Islam, JAKIM.

Comments