BERUSAHALAH MENJADI HAMBA ALLAH YANG TERBAIK DENGAN SENTIASA MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN


Pandemik Covid-19 semakin kuat melanda bumi Malaysia, setakat semalam negara merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 11,079 dan ini merupakan rekod yang maksimum dicatatkan sepanjang dua tahun dunia berhadapan pandemik. Dengan catatan ini, maka semakin ramai rakyat yang akan terjejas pendapatannya. Jadi, sebagai umat Islam khususnya yang berkemampuan, inilah masanya kita merebut pahala dengan menjadi hamba Allah SWT yang terbaik dalam berkongsi rezeki. Allah SWT berfirman:

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa." (QS Ali ‘Imran: 133).

Seorang Mukmin yang menjalani peranan sebagai khalifah hendaklah sentiasa meningkatkan daya fikir untuk memajukan ummah dan membantu kemaslahatan ummah supaya umat Islam akan terus berdiri kukuh dengan nilai kualiti diri yang tinggi di muka bumi ini. sebagai contoh, kempen bendera putih atau bakul rezeki yang diwujudkan untuk membantu sesama sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak. Ini adalah satu usaha yang baik di mana sebahagian daripada kita secara tidak langsung berusaha untuk menjadi manusia yang berguna kepada rakyat, bangsa dan agama. 

Ingatlah, musibah orang lain adalah ujian bagi kita yang berkemampuan. Pada saat ini, ia merupakan masa yang tepat untuk menggapai keredhaan daripada Allah SWT dengan menjadi hamba yang terbaik dalam memberi manfaat kepada umat manusia lainnya. Siapa tahu, apabila kita berbuat sesuatu hatta sedikit kebaikan, pada mata Allah SWT itu amat tinggi darjatnya dan diampunkan segala dosa-dosa kita serta dilimpahkan seluas-luasnya rezeki. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (QS Al – Talaaq: 2 – 3).

Sumber: Berita Harian (9 Januari 2015)

Comments