INGATLAH!!!MENYEBAR FITNAH ADALAH SATU DOSA BESAR YANG DIHARAMKAN SYURGA DAN AKAN MENDAPAT AZAB YANG PEDIH DI NERAKA ALLAH
Tahukah kita bahawasanya kita sedang melalui fasa fitnah akhir zaman? Ya, ini zaman fitnah dan sekarang kita sedang hidup di dalamnya. Dengan terciptanya pelbagai kecanggihan teknologi dan kewujudan pelbagai laman sosial, jangan terkejut jika dikatakan ramai di kalangan manusia mengambil kesempatan dengan mewujudkan pelbagai laman web seperti blog, Facebook page, youtube channel dan sebagainya untuk menghasilkan 'content' bagi menjana pendapatan, dan sebahagian besarnya berunsurkan fitnah! Sabda Rasulullah SAW:
"Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)." (HR Bukhari: 6056).
Seharusnya, dengan adanya kecanggihan teknologi serta kewujudan rangkaian platform media sosial ini, kita sepatutnya menghasilkan 'content' yang bermanfaat kepada seluruh umat manusia. Sebagai contoh, penggunaan platform media sosial dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang betapa bahayanya virus Covid-19 dan amalan-amalan penjarakan sosial yang perlu diamalkan sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan. Kita juga boleh menggunakan platform ini untuk sebaran tentang kebaikan vaksin dalam melindungi diri beserta rujukan yang disediakan. Bukannya menyebarkan perkara-perkara yang tidak sahih seperti “voicenote makteh” dan kematian jururawat akibat pengambilan vaksin ataupun video ramalan seorang individu yang mempunyai ilmu agama yang tinggi mengatakan pengambilan vaksin akan memendekkan jangka hayat manusia.
Ingatlah! Sesungguhnya penyebar fitnah ini tidak akan lari daripada bayangan dosa yang telah dilakukan dan tidak akan terlepas daripada azab Allah SWT. FirmanNya:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (QS Al – Nur: 19).
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW telah memberi amaran akan balasan kepada si pemfitnah. Baginda bersabda:
“Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia.” (HR Ibnu Hibban: 655).
Adakah kita sanggup menjadi ejen penyebar fitnah?
Sumber: Harian Metro (16 Disember 2020) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment