JADILAH MUSLIM SEJATI DENGAN MENJAGA LISAN DARIPADA KALIMAT YANG MENYAKITKAN ORANG LAIN DAN MENAHAN TANGAN DARIPADA MENYEBARKAN SESUATU YANG TIDAK SAHIH
Dengan kepesatan teknologi serba canggih termasuk dengan kewujudan pelbagai bentuk media sosial, kehidupan manusia kini lebih terdedah kepada bahaya. Bukan sahaja terdedah kepada kebocoran data maklumat peribadi, bahkan privasi hingga menimbulkan fitnah di dalam dunia maya. Informasi yang disebar atau diperoleh tidak memerlukan masa yang panjang. Informasi juga tidak lagi bersifat picisan atau kecil-kecilan. Dengan kepesatan teknologi komunikasi dan dunia siber, sesuatu berita itu akan bergerak dan dapat diperoleh khalayak dalam sekelip mata sahaja. Tiada batasan geografi, tiada batasan masa, dan tiada had kapasiti informasi seperti dahulu.
Oleh itu dosa lisan (mulut) hari ini yang disebarkan melalui tulisan di media sosial sangat mudah dilakukan sama ada secara sedar atau tidak sedar (menyebarkan berita tanpa diperiksa kesahihannya terlebih dahulu). Di era media sosial ini adalah diingatkan supaya umat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati menjaga lisan daripada kalimat yang boleh melukakan hati orang lain. Jaga tangan daripada menulis hal-hal yang tidak sahih dan mengeruhkan lagi keadaan. Jaga hati untuk tidak mempunyai persepsi negatif atau buruk sangka terhadap orang lain. Ingatlah bahawa di akhirat nanti, semua perbuatan kita termasuk lisan kita akan dipersoalkan oleh Allah SWT. Ketahuilah bahawa menjaga lisan adalah amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT seperti sabda Rasulullah SAW:
"Amal yang paling dicintai Allah SWT adalah menjaga lisan." (HR al- Baihaqi).
Sementara itu syarat untuk menjadi Muslim yang baik adalah dengan tidak menyakitkan hati Muslim yang lain sama ada melalui tangan atau lisannya. Sabda Rasulullah SAW:
"Orang yang disebut Muslim adalah orang yang boleh menjaga tangannya dan lisannya daripada menyakiti Muslim yang lain." (HR Bukhari).
Jenayah fitnah yang sedang membarah dalam kalangan Muslim bukanlah satu perkara baru, malah Rasulullah SAW sendiri menjadi mangsa fitnah itu adalah isteri Baginda sendiri, iaitu Saidatina Aishah RA. Peristiwa ini lebih dikenali sebagai Kisah Ifki (tuduhan jahat). Firman Allah SWT:
“Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh.” (QS al – Baqarah: 27).
Bahkan dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah RA bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka dengan gunting. Baginda SAW bertanya kepada Jibril:
“Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar-penyebar fitnah.” (HR At – Thabrani).
Lihat, begitu azab sekali balasan Allah SWT kepada para pemfitnah. Apakah kita tidak takut? Membayangkan sahaja sudah ngeri, apalagi kalau kita yang berada di posisi itu pada hari kiamat kelak. Oleh itu, tahanlah lidah kita, jagalah lisan kita, jangan sesekali membicarakan tentang perkara yang tidak pasti akan kesahihannya. Boleh jadi berita tersebut hendak memusnahkan kehidupan seseorang dan kita secara tidak langsung sudah dikira bersubahat bersama-sama si pembawa fitnah. Ingatlah, Allah SWT itu maha melihat. Firman Allah SWT:
“…Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan barangsiapa diantara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar.” (QS An – Nur: 11)
Sumber: Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Comments
Post a Comment