JANGAN DIPOLEMIKKAN ISU BENDERA PUTIHISTIQOMAHLAH DALAM MEMBANTU INSAN YANG MEMERLUKAN KERANA IA ADALAH AMALAN YANG DICINTAI ALLAH SWT


Sejak timbulnya isu bendera putih sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia untuk membantu di antara satu sama lain semasa pandemik Covid-19, ramai yang bersetuju dan tidak kurang juga yang membantah dengan alasan ia membuka aib dan Islam tidak mengajarkan kita untuk mengalah dalam hidup. Adakah itu benar? Dalam perkara ini, ada beberapa ‘point’ yang boleh diperbetulkan. 

Pertama, adakah ia membuka aib? Tidak sama sekali. Ini kerana lebih baik meminta daripada mencuri. Ini terbukti daripada beberapa siri tangkapan polis yang melibatkan kecurian barangan makanan di pasar raya hanya kerana ketidakmampuan untuk menyediakan sajian makanan seharian. Masih ingat akan bantuan yang dihulurkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya kepada seorang wanita yang ditangkap kerana mencuri roti dan makanan lain? Ini membuktikan bahawa solidariti ini perlu dalam mendidik rakyat lebih-lebih lagi umat Islam agar peka dengan keadaan sekeliling dan saling membantu sesama manusia.

Rasulullah SAW bersabda:

“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia yang lain. Sedangkan perbuatan yang paling dicintai Allah adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapus kesusahan orang lain..” (HR At – Thabrani).

Kedua, Islam tidak mengajarkan umatnya untuk mengalah dalam hidup dengan cara mengibarkan bendera putih. Ya, memang benar tiada istilah bendera putih di dalam Islam. Akan tetapi, penggunaan maksud bendera putih itu kini sudah meluas mengikut peredaran zaman. Mungkin di zaman Dinasti Han (25 – 220 M) atau Empayar Rom (109 M) mereka menggelarkan ia sebagai satu bentuk serahan diri, tetapi ia sudah berubah mengikut abad dan kini bendera putih digunakan sebagai syarat kecemasan agar umat manusia peka dalam keadaan yang medesak. Selain berdoa, adalah lebih afdhal untuk kita berusaha walaupun dalam keadaan meminta-minta. Bukankah Islam telah mengajarkan umatnya untuk saling memberi dan saling berkongsi?

Oleh itu, pandanglah solidariti bendera putih ini sebagai salah satu usaha yang positif daripada rakyat kepada rakyat dengan niat untuk mendidik umat Islam agar kekal peka dengan keadaan sekeliling dan berusaha untuk memberi bantuan kepada yang amat memerlukan. Jangan dipolemikkan isu bendera putih ini dalam keadaan masyarakat yang terkesan dengan pandemik covid-19 ni. Meskipun ada juga segelintir individu atau pihak yang cuba mempolitikkan isu ini, namun biarkanlah mereka. Jangan terus menerus kita mempolemikkan isu bendera putih ini sehingga ia membantutkan usaha masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan di musim covid ini.  

Kita harus berfikiran positif dan menjadikan usaha bersolidariti untuk mengajak masyarakat turut sama membantu mereka yang memerlukan ini sebagai satu usaha yang baik, di samping terdapat berbagai inisiatif lain yang dilakukan oleh pihak kerajaan, badan-badan sukarela (NGO), pertubuhan-pertubuhan, masjid/surau dan individu. 

Lagipun, tidak selamanya bendera putih itu akan terus berkibaran bukan? Mungkin ia isyarat kecemasan dan selepas bantuan diterima, ada pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau jabatan-jabatan yang berkaitan sudah mengambil maklum akan kesusahan pihak-pihak yang terlibat. Ini tanggungjawab kita kepada umat manusia. Janganlah sesekali mempolitikkan keadaan ini, jika mampu bantulah sekadar yang boleh. Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah.” (HR Muslim).

Sumber: Sinar Harian (25 Jun 2019)

Comments