JANGAN JADI ‘DAJJAL KECIL’ DENGAN MENJADI AGEN PENYEBAR FITNAH DAN BERITA YANG TIDAK PASTIINGATLAH!!! AZAB ALLAH AMAT PEDIH BAGI MEREKA YANG MENYEBAR FITNAH
Di kala para pemimpin dan juga frontliners sedang cuba sedaya-upaya untuk menyelamatkan nyawa para rakyat negara akibat pandemik Covid-19, ada sekelompok manusia dengan bangganya memfitnah, mengadu-domba dan menjaja cerita yang tidak diketahui kesahihan sumbernya serta cuba untuk menghasut para rakyat dengan ‘dakyah’ mereka dengan ideologi yang tidak masuk dek akal. Apatah lagi dengan kepesatan teknologi dan kewujudan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Tweeter dan juga TikTok, ia memudahkan golongan pemfitnah ini menyebarkan maklumat palsu ke seluruh dunia. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.” (QS An – Nur: 11-12).
Ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT sangat benci dan murka kepada golongan pembawa fitnah ini. Bayangkan, di kala para petugas barisan hadapan dan pemimpin sedang cuba meyakinkan rakyat akan kebaikan vaksin sebagai pelindungan diri, para pembawa fitnah ini datang lalu memberikan tafsiran mereka sendiri tanpa mana-mana rujukan. Ada di kalangan mereka dengan megah berkata, bacalah artikel daripada penulis atau tabloid luar negara kerana mereka tidak ‘bias’. Yakin media luar negara tidak ‘bias’? Jika benar, mengapa ada laporan daripada media Al – Jazeera yang berjudul “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” setahun yang lalu? Di dalam laporan itu sendiri, Al – Jazeera memburuk-burukkan kepimpinan Malaysia dan juga badan penguatkuasaan negara seperti PDRM dan juga ATM?
Jangan terlalu percaya 100% apa yang media luar perkatakan. Mereka sanggup memburukkan negara luar untuk menaikkan nama negara mereka. Apabila datangnya kepada kita satu berita, maka selidiklah terlebih dahulu. Jangan hanya lihat tajuk dan sebarkan secara terus tanpa diketahui isinya. Negara kita sedang berperang dengan pandemik demi untuk keselamatan nyawa umat sejagat. Jangan jadi ‘dajjal kecil” demi mahu melihat pepercahan dalam kalangan umat manusia khususnya umat Islam. Ini kerana sesungguhnya balasan si pemfitnah itu amatlah berat dan seksa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)." (HR Bukhari).
Di dalam satu hadis lain, yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.A, Nabi SAW bersabda:
“Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia.” (HR Ibnu Hibban).
Berhentilah daripada menyebarkan perkara yang tidak pasti! Kerana azab Allah SWT seksa tidak terperi!
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment