JANGAN MENGAMBIL HAK ORANG LAIN KERANA IA ADALAH PERBUATAN DOSA YANG MENDAPAT AZAB ALLAH DI AKHIRAT KELAK
Sememangnya semua orang faham akan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat Malaysia berikutan pandemik Covid-19 yang masih lagi tidak menunjukkan sebarang penurunan. Maka, atas inisiatif ‘kita jaga kita’ dan juga ‘kempen bendera putih’, maka ada sebilangan daripada rakyat yang berkemampuan telah sudi untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang terjejas. Namun, apa yang mendukacitakan adalah ada di kalangan mereka ini mengambil kesempatan atas kebaikan si penderma.
Jika disoroti kepada setiap posting yang bertebaran di media sosial, ramai yang berkongsi kisah mereka dihubungi oleh individu-individu yang mengaku di dalam kesusahan tetapi ‘demand’ bermacam perkara. Ada pula yang menagih bantuan tetapi apabila ditawarkan pekerjaan, mereka tidak mahu atas alasan ‘tidak biasa’. Ada pula kejadian di mana sebuah keluarga meminta bantuan daripada banyak pihak dan apabila dilakukan pemeriksaan oleh pusat zakat, ternyata bantuan itu dikumpulkan dengan alasan ‘buat stock’. Inikah ajaran yang diajarkan oleh Islam? Mengambil kesempatan dan hak orang lain.
Ketahuilah, bahawasanya mengambil kesempatan ke atas budi baik seseorang dan mengambil hak orang lain itu adalah dosa besar dan tidak berkat. Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa yang mengambil hak orang lain walaupun sejengkal tanah maka kelak akan dikalungkan padanya (dengan tanah) dari tujuh lapis bumi." (HR Bukhari dan Muslim).
Walaupun hadis tersebut menyebut tentang mengambil harta orang lain seperti tanah dan sebagainya, walaupun sedikit, namun perbuatan mengambil hak orang lain juga boleh dimaksudkan apa sahaja hak orang lain secara. umum. Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yag halal atau yang haram.” (HR Al-Bukhari).
Apa yang disabdakan oleh Rasulullah di zaman tersebut, telah pun terjadi hari ini apabila ada di kalangan kita yang tidak mempunyai rasa malu untuk mengambil seberapa banyak bantuan yang disediakan begitu juga memintanya berulang kali walhal si penderma telah menginfaqkannya kepada beberapa golongan. Apakah kita tidak merasa bersalah memberi keluarga kita makan dari hak orang lain? Tahukah anda bahawa perbuatan itu akan membuatkan kita muflis di akhirat kerana telah menyusahkan orang lain? Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang ketika Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa, zakat dan pelbagai ibadat tetapi dia juga pernah mencaci, memfitnah, mengambil harta tanpa hak, menumpahkan darah serta memukul orang lain.” (HR Muslim).
Oleh itu, bersyukurlah seadanya dengan bantuan yang diterima dan jangan sesekali tamak, kerana orang yang tamak selalunya akan rugi. Jangan mengambil kesempatan di atas budi baik seseorang kerana sekali kita ditangkap mengkhianati, selamanya kita tidak akan dipercayai lagi. Jangan ambil hak orang lain, kerana ia adalah sebesar-besarnya dosa.
Sumber: Berita Harian (26 Februari 2019)
Comments
Post a Comment