KEBEBASAN BERSUARA BUKAN BERMAKNA GOLONGAN LIBERAL BEBAS MENYEBARKAN KESESATAN TANPA BATASAN AGAMA, MORAL, UNDANG- UNDANG DAN ADAT TATASUSILA


Kebebasan bersuara tidak diberikan secara mutlak untuk mengatakan apa-apa sahaja tanpa batasan, sebaliknya wujud sempadan moral, agama, undang-undang dan adat tatasusila supaya tidak merosakkan manusia serta meruntuhkan peradaban. Oleh itu, masyarakat perlu disedarkan terhadap bahaya pemikiran liberalisme yang memberi kebebasan kepada manusia melakukan apa sahaja tanpa sekatan agama dan nilai murni.

Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia menyimpulkan golongan liberal yang beragama Islam terbahagi kepada dua  kategori, iaitu kelompok keliru kerana jahil dan keliru pada tahap teruk disebabkan keras kepala.

Kelompok pertama mudah ditangani apabila mereka masih boleh diberitahu dan dididik. Kita hanya perlu mengambil pendekatan menegur dan mendidik dengan lembut kerana mereka masih boleh diubah melalui didikan.

Namun, kategori kedua pula agak susah kerana tidak akan mendengar apapun hujah dikemukakan dan tidak menghormati autoriti, sebaliknya hanya mahu mendengar apa yang ingin didengar. Mereka bukan hanya keliru tetapi berusaha keras mengelirukan orang lain. Oleh itu, tiada jalan lain kecuali mengambil tindakan tegas melalui penguatkuasaan undang-undang.

Perlembagaan meletakkan Islam di bawah kuasa raja-raja, maka fatwa negeri serta persekutuan dikeluarkan mufti mengikat hingga kerajaan boleh menggunakan fatwanya sebagai dasar polisi. Walaubagaimanapun, pada masa yang sama usaha penerangan berterusan kerajaan, badan berkanun dan majlis agama Islam negeri mesti dilakukan dengan lebih baik kerana cabaran liberalisme semakin hebat.

Ilmuwan, agamawan, mufti dan pendidik perlu memahami cabaran fahaman liberal untuk menghalangnya daripada merebak bukan sahaja peringkat sekolah dan universiti, bahkan madrasah dan pondok. Apa juga cubaan menyebarkan faham liberal perlu diberi perhatian serius, tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dibiarkan. Jika dibiarkan, akan muncul lebih ramai yang bertindak lebih berani, sekali gus jelas menimbulkan keresahan awam dan ketidakharmonian masyarakat

Sumber: Berita Harian- 25 Oktober 2019

Comments