Mencari jalan yang menuju persengketaan adalah suatu perbuatan berdosa dan tidak patut dilakukan oleh umat Islam. Apatah lagi mencari kejelekan seseorang, kerana ia boleh mengundang aib individu tersebut. Bukankah kita telah diajar oleh agama Islam untuk menutup aib sesama umat Islam? Bahkan, Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.” (HR Muslim: 2590)
Apabila seseorang itu gemar mencari kejelekan seseorang yang lain, maka secara tidak langsung dia sudah mencipta jurang persengketaan dan permusuhan. Bukankah semua Muslim itu bersaudara, bahu bertemu bahu, mengapa perlu mencipta permusuhan di kalangan umat Islam? Tahukah perbuatan itu amat dimurkai oleh Allah SWT? Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Aku peringatkan kepada kalian tentang prasangka, kerana sesungguhnya prasangka adalah perkataan yang paling bohong, dan janganlah kalian berusaha untuk mendapatkan informasi tentang kejelekan dan mencari-cari kesalahan orang lain, jangan pula saling dengki, saling benci, saling memusuhi, jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari dan Muslim: 2563)
Beringatlah, jangan sesekali mencipta permusuhan dan kebencian dengan mencari-cari kejelekan orang lain. Jangan merasa diri kita sempurna, kerana kita juga makhluk Allah SWT yang penuh dengan sifat kekurangan. Jangan merasa bangga apabila mengaibkan orang, kelak kifarahnya pasti datang. Berusahalah menjadi seorang Muslim yang berfikiran positif dan sentiasa berbuat baik kepada semua pihak. Dengan tidak tidak suka mencari-cari kejelekan orang lain, kita berharap Allah SWT menutup kejelekan kita di dunia dan di akhirat sehingga kita mendapat keselamatan dari kehinaan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment