PERTUBUHAN HIZBUT TAHRIR MALAYSIA IBARAT 'DURI DALAM DAGING' YANG CUBA MEMUSNAHKAN SISTEM KENEGARAAN DAN BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA JIKA TIDAK DIBENDUNG DARI AWAL


Kumpulan Hizbut Tahrir merupakan sebuah kumpulan yang kurang dikenali di Malaysia, mereka ‘bersembunyi’ disebalik gerakan yang kononnya ingin menegakkan agama Islam. Malah masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui kewujudan dan fungsi kumpulan ini yang dikatakan boleh membentuk satu gerakan yang menyemai fahaman yang salah dan mampu untuk memporak-perandakan sistem pentadbiran serta politik negara serta memberi ancaman kepada keselamatan negara jika dibiarkan terus berkembang mempengaruhi masyarakat di negara ini.

Namanya tidak pernah disebut-sebut sebagai gerakan militan malah tidak pernah dikaitkan dengan gerakan militan di Malaysia seperti Jemaah Islamiah (JI), Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) atau Daesh. Namun, di kebanyakan negara Barat seperti Amerika Syarikat, Rusia, Australia dan beberapa negara lain lagi, gerakan Hizbut Tahrir ini telah diharamkan atas alasan perkembangan gerakan ini adalah sesuatu yang membahayakan negara mereka kerana menyebarkan fahaman keganasan, anti Barat dan menaikkan semangat orang-orang Islam untuk menyokong gerakan jihad menentang kuasa-kuasa Barat. Setakat ini lebih daripada 20 buah negara di dunia ini telah mengharamkan pergerakan Hizbut Tahrir termasuklah negara kita, Malaysia dan juga Indonesia. 

Di Malaysia kumpulan Hizbut Tahrir turut diharamkan oleh pihak kerajaan kerana bukan sahaja mereka menentang arus dalam pegangan terhadap sistem demokrasi di Malaysia, malah ideologi gerakan ini jika dibiarkan tersebar dikhuatiri akan menanamkan bibit-bibit radikal dan keganasan yang boleh mengancam kestabilan negara. Sementara itu, kebanyakan Jawatakuasa Fatwa Negeri di negara ini telah mewartakan atau membuat keputusan mengharamkan pergerakan Hizbut Tahrir kerana mendapati fahamannya yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Walaupun kenyataan dalam risalah, laman web mahupun tokoh pemimpin kumpulan mereka menjelaskan bahawa Kumpulan Hizbut Tahrir bukanlah satu gerakan bersifat militan, namun daripada tingkahlaku yang dilakukan oleh anggota mereka di Indonesia, Asia Tengah, Eropah jelas menunjukkan bahawa mereka menyokong gerakan jihad dan melakukan kegiatan-kegiatan yang boleh membangkitkan semangat untuk melakukan keganasan sama ada melalui demonstrasi jalanan, ceramah, isu-isu semasa dan lain-lain untuk menggulingkan kerajaan.

Sumber: Journal Terrorism and Political Violence (2010), No. 22(4).

Comments