REBUTLAH GANJARAN PAHALA BERGANDA DARIPADA ALLAH SWT DENGAN MELAKUKAN AMALAN SOLEH DI 10 HARI PERTAMA ZULHIJJAH
Seperti yang kita semua tahu bahawa hari ini merupakan Hari Wuquf ataupun Hari Arafah bagi umat Islam yang mengerjakan ibadah haji kota Makkah al – Mukarramah. Maka dari itu rata-rata di antara mereka akan mengambil peluang untuk berbuat lebih banyak amal ibadah khususnya di 10 hari pertama di bulan Zulhijjah. Akan tetapi, amalan itu tidak semestinya tertakluk kepada umat Islam yang mengerjakan haji, bahkan kita di Malaysia ini pun boleh melakukan amalan yang sama bagi merebut ganjaran yang berganda daripada Allah SWT.
Di antara amalan baik di 10 hari pertama bulan Zulhijjah adalah puasa hari Arafah. Puasa hari arafah adalah antara puasa sunat yang memiliki ganjaran yang sangat besar di sisi Allah SWT. Antara kelebihan puasa hari arafah ialah boleh menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
“Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan dosa yang sebelum tahun tersebut dan selepasnya”. (HR Muslim: 1162).
Selain ibadat puasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan amar makruf nahi munkar. Dalam suasana rakyat yang tertekan oleh musibah covid-19 ini, maka membantu mereka yang memerlukan juga termasuk amal soleh. Perlu diinsafi setiap amalan yang dilakukan pada hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah seperti berjihad pada jalan Allah tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa seperti amalan soleh yang dilakukan pada 10 hari pertama Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim yang keluar berjihad itu tercedera dan mati syahid serta kudanya terbunuh dalam medan peperangan.
Jelas di sini bahawa Hari Arafah dan juga hari sebelumnya pada permulaan Zulhijah adalah antara hari yang afdal untuk beribadat kepada Allah dengan melakukan segala amalan sunat dianjurkan pada hari berkenaan di samping setiap detik berlalu pada hari itu adalah waktu yang amat mustajab doanya dan juga hari digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda:
"Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada 10 hari pertama Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu perbanyakkan zikir tahlil, takbir dan tahmid." (HR Imam Ahmad).
Begitulah antara kelebihan yang terhampar pada 10 hari dalam Zulhijah yang sewajarnya direbut oleh setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya serta kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Harian Metro (8 Julai 2021)
Comments
Post a Comment