AWAS!!! FAHAMAN ATEISME BERLAKU MELALUI ‘PENJAJAHAN’ MINDA SECARA HALUS YANG BOLEH MENYESATKAN AKIDAH DAN MEMESONGKAN SESEORANG DARI KEHIDUPAN BERAGAMA


Ateisme hanyalah satu jelmaan daripada banyak gejala negatif Barat yang menyimpang, menyeleweng dan keluar dari ajaran Islam yang dikenali sebagai 'de-islamization' (Ingkar Islam) termasuklah menukar ke agama lain (murtad), syirik, extremisme, radikalisme, sekularisme, liberalisme dan lain-lain.

Ingkar Islam tidak bermakna mereka mengaku ateis atau meninggalkan Islam dan menganut agama lain. Mereka masih mengaku Muslim tetapi jahil mengenai dasar dan amalan Islam serta tidak mengamalkannya. Malah, sebahagian yang mengingkari Islam ini memiliki kepakaran bahasa Arab dan pengetahuan bidang ilmu tradisional Islam tetapi menafsirkan semuanya melalui kerangka pemikiran moden yang sekular, liberal dan nisbi (relative), atau melalui kerangka ilmu-ilmu tradisional agama secara sempit.

Kedua-dua aliran ini menganggap diri mereka lebih memahami Islam daripada majoriti sarjana-sarjana Islam sepanjang zaman. Oleh kerana Islam adalah agama yang berasaskan faham ilmu dan kaedah ilmiah yang berasaskan tauhid dan komprehensif seperti yang dihuraikan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam "Prolegomena to the Metaphysics of Islam" (1995), maka ingkar Islam ini berkait rapat dengan sifat ingkar ilmu yang merupakan lawan mutlak budaya ilmu dalam Islam.

Terdapat juga hasil kajian yang mendapati aliran ateisme ini meningkat dalam kalangan golongan yang berpendidikan dan yang berpendapatan tinggi. Kedua-dua faktor ini menunjukkan kemungkinan besar mereka memiliki peranan penting dalam kehidupan institusi awam dan swasta dikhuatiri menjadi satu fenomena yang bakal dinormalisasikan dalam seluruh masyarakat Malaysia untuk tidak mempercayai Tuhan. Golongan ini selalunya akan mengulang-ulang hujah kemungkinan dan kebetulan sahaja seperti mengaitkan setiap kejadian bermula dengan teori Big Bang.

Namun, secara jelasnya keyakinan yang dipegang oleh golongan tersebut adalah terpesong dan bercanggah dengan dalil al-Quran dan hadis, malah ia turut ditolak kaedah ilmiah dan rasional akal manusia yang sihat. Hujah kemungkinan dan kebetulan itu akan runtuh dengan sendiri kerana terdapat ‘ketidakaturan’ dan ‘ketidaktersusunan’ terhadap sesuatu walaupun dibiarkan jutaan tahun. Perkara tersebut yang dihujah oleh al-‘Allamah membuktikan bahawa ateisme tidaklah lebih daripada suatu pemikiran dan tindakan memusuhi akal yang sihat dalam mencari kebenaran. Mereka sebenarnya hanyalah mengikut hawa nafsu semata-mata.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor - 8 Mei 2020, Berita Harian - Julai 2016.

Comments