AWAS!!! RUANG LINGKUP AJARAN SESAT BUKAN HANYA DARI SUDUT AKIDAH TETAPI TERMASUK JUGA SYARIAT DAN AKHLAK YANG BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM


Munculnya ajaran sesat di negara ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya disebabkan wujud golongan-golongan musuh Islam yang ingin meruntuhkan ajaran Islam dengan mengubah, menyeleweng dan merosakkan ajaran Islam. Ajaran sesat ruang lingkupnya amat luas sama ada sesat dari sudut kepercayaan atau akidah, sesat dari sudut pengamalan atau syariat dan sesat dari sudut akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhannya.

Antara fahaman yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah adalah fahaman-fahaman klasik dalam pemikiran Islam yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti Syiah, Murjiah, Khawarij, Qadariyah, Jabariyah dan Muktazilah. Antara fahaman moden yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah yang menyalahi pegangan ASWJ adalah seperti Nasionalisme, Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme, Sosialisme, Kapitalisme dan Komunisme.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengamalan atau syariat ialah ibadah, ritual atau pengamalan yang diada-adakan menyalahi sumber syariat Islam (al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan qiyas) adalah seperti mengamalkan solat wajib kurang atau lebih daripada lima waktu, mengguna pakai kaedah pelaksanaan zakat dan puasa menyalahi pelaksanaan yang ditetapkan oleh Islam dan menunaikan haji bukan di Mekah atau dilaksanakan pada bulan selain bulan haji dan sebagainya.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengabdian atau akhlak antara hamba bersama Tuhannya seperti pengangungan ketua, guru atau tokoh manusia melebihi kedudukan kemanusiaan. Kebanyakan fahaman atau ajaran sesat dalam kategori ini berselindung di bawah nama tasawuf dan tariqat. Mereka menisbahkan nama kumpul dengan nama-nama tariqat sufi muktabar tetapi hakikatnya mereka tiada kaitan langsung dengan aliran tersebut. Dakwaan palsu tersebut boleh dikesan dari sudut wujud atau tidak pengijazahan dan sanad sesebuah aliran tariqat yang menjadi sandaran.

Sesungguhnya hanya Islam merupakan agama yang diredhai Allah SWT dan mempunyai cara hidup yang lengkap meliputi segala urusan kehidupan manusia. Islam telah lengkap dengan pengutusan nabi dan rasulNya yang terakhir iaitu Muhammad SAW sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 bermaksud: 

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor

Comments