BAHAYA FAHAMAN LIBERAL. NILAI-NILAI DAN PEMIKIRAN LIBERAL SEMAKIN BERKEMBANG DALAM MASYARAKAT. PERLU DITANGANI SEGERA SEBELUM PARAH
Sememangnya menjadi pegangan mereka yang berfahaman liberal melihat agama sebagai hak peribadi dan orang lain tidak boleh menentukannya. Konsep baik dan buruk dinilai berdasarkan perspektif individu, bukan lagi perspektif agama. Melalui pemahaman inilah mereka selalu mengeluarkan kata-kata yang sengaja diadakan bagi menghalalkan apa yang dilakukan.
Sebagai contoh, kita biasa mendengar ungkapan "aurat tidak perlu ditutup, yang penting wujud iman di dalam hati, orang berzina tidak boleh dihukum kerana kerelaan hati pasangan, duduk serumah tanpa ikatan perkahwinan tidak salah selagi tidak berlaku penzinaan" dan sebagainya.
Prinsip-prinsip sebegitu dilihat semakin berkembang dan menjadi budaya dalam masyarakat Islam di Malaysia. Walaupun prinsip Islam liberal diharamkan secara jelas, namun nilai-nilainya semakin berkembang. Berdasarkan perkembangan dan pertembungan budaya melalui pendidikan, sosialisasi dan teknologi maklumat, fahaman liberal semakin menjadi normalisasi dalam masyarakat.
Prinsip liberalisme yang turut berkembang dalam pemikiran umat Islam sehingga akhirnya pegangan tradisi tentang agama turut berubah. Walaupun perkembangan Islam liberal di Malaysia masih terkawal dan tidaklah sehebat di Indonesia, namun pihak yang berwajib perlu bertindak tegas menghadapi ancaman fahaman dan pemikiran liberal ini dari terus merebak dan merosakkan pemikiran umat Islam selain mengeruhkan keharmonian penghayatan Islam dalam diri.
Akhirnya, adalah suatu yang amat membimbangkan sekiranya tiada sebarang langkah pembendungan diambil. Program berunsurkan liberal perlu dipantau, malah perlu diharamkan jika ia dilihat boleh menggugat kesucian Islam dan mengganggu keamanan negara.
Sumber: Berita Harian – 5 Disember 2014
Comments
Post a Comment