BERAKHLAKLAH DENGAN AKHLAK YANG BAIK KERANA AKHLAK YANG BAIK ADALAH ANTARA SYARAT KETAKWAAN DAN JALAN KE SYURGA


Sebagai umat Islam, sudah pasti kita mengetahui betapa pentingnya bagi seseorang Mukmin itu untuk menjaga akhlaknya. Namun, semakin tinggi teknologi yang dikecapi, semakin hilang gaya, tutur bahasa dan kesopanan manusia zaman ini. Hal ini tidak sahaja terkait dengan golongan belia, hatta golongan dewasa juga turut terlibat. 

Hal ini boleh dilihat di setiap laman sosial di mana ada sahaja 'posting' dan juga 'komen' yang berbaur biadap malah tidak keterlaluan dianggap kurang ajar. Malah, di kehidupan luar alam maya juga ada di antara mereka yang bergaduh dan mengeluarkan kata-kata sesat sesama sendiri. Apa yang menyedihkan, mereka yang terlibat kebanyakannya beragama Islam. Adakah ini yang diajar oleh agama Islam? Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesuatu paling berat ditimbang oleh Allah di timbanganNya ialah akhlak yang baik." (HR Tirmidzi). 

Rasulullah SAW juga bersabda:

"Kebanyakan perkara yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah ketakwaan kepada Allah dan mempunyai akhlak yang baik." (HR at-Tarmizi).

Di dalam kehidupan kita ini, sudahlah amalan tidak seberapa soleh, janganlah adab pula dikurangkan. Dengan menjaga adab, barulah kita dapat memperolehi akhlak yang baik. Rasulullah SAW telah mewasiatkan kita dengan sejuta kebaikan dan akhlak yang terpuji untuk kita teladani. Mengapa kita masih mengikut cara kaum kuffar dalam hidup kita? 

Jagalah adab dan akhlak kita agar tidak terus terpesong. Sudah menjadi kewajipan kita sebagai seorang Muslim untuk berakhlak mulia. Akhlak yang baik adalah sesuatu yang tidak dapat disembunyikan kelebihannya dalam Islam. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu Muslim menzahirkannya dan perbuatan seperti ini sesuatu yang dipuji Allah SWT sebagaimana pujianNya terhadap Rasulullah SAW: 

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang terpuji." (QS Al - Qalaam: 4). 

Sumber: Harian Metro - 4 Mac 2021

Comments