BERSIHKANLAH HATI DENGAN SENTIASA BERSANGKA BAIK TERHADAP ALLAH S.W.T


BERSIHKANLAH HATI DENGAN SENTIASA BERSANGKA BAIK TERHADAP ALLAH S.W.T

Di akhir zaman ini, ditambah pula dengan cabaran berhadapan dengan pandemik Covid-19, ramai di antara kita sudah mula berprasangka buruk terhadap kehidupan, lebih-lebih lagi kepada Allah S.W.T. Kerana apa? Kerana tidak tahan dengan ujian hidup yang diberi dan sentiasa menyalahkan pihak lain atas apa yang berlaku.
Seharusnya sebagai umat Islam, kita wajib bersangka baik terhadap Allah S.W.T dalam apa jua keadaan kerana dalam sebuah hadis Qudsi, Allah telah berjanji:
"Aku menuruti sangkaan hamba-Ku kepada-Ku." (HR Bukhari dan Muslim).
Dalam satu hadis yang lain Rasulullah S.A.W mewasiatkan kepada umat ini iaitu tiga hari sebelum baginda wafat, Rasulullah S.A.W bersabda:
"Janganlah seseorang dari kalangan kamu yang mati melainkan dalam keadaan bersangka baik kepada Allah." (HR Muslim)
Ketahuilah antara nama-nama Allah S.W.T adalah al-Mu'min yang bermaksud Yang Maha Membenarkan. Antara maknanya ialah Allah sentiasa membenarkan sangkaan para hamba-Nya kepada-Nya dan tidak akan mengecewakan mereka. Oleh itu, kita wajib bersangka baik dengan Allah S.W.T dan menerima dugaan musibah Covid-19 ini sebagai qada' dan qadar daripada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Allah tidak akan sesekali menguji hambaNya kecuali sesuai dengan kemampuan mereka sendiri." (QS Al - Baqarah: 286)
Dalam hal ini, kita perlulah membersihkan hati kita terlebih dahulu dan bersangka baik terhadap segala ujian yang Allah S.W.T berikan kepada kita. Positifkan diri bahawa ujian ini adalah penguat hidup kita dan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T. Mungkin sebelum ini kita jarang bersyukur atas apa yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita, jadi Dia datangkan sedikit ujian untuk kita sedar bahawa Dia sangat sayang akan kita. Sabda Rasulullah S.A.W:
"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati." (HR Bukhari)
Selain itu, bersangka baiklah terhadap segala ujian yang Allah S.W.T turunkan kepada kita kerana Allah S.W.T tidak mahu kita terus terleka dengan dunia yang fana ini.
Pokok pangkalnya adalah hati kita, hati yang bersih akan sentiasa tenang dalam menerima ujian. Apabila hati kita bersih, ikhlas dan bersangka baik dalam menerima ujian, nescaya otak kita juga akan turut bekerja dengan elok dalam mencari solusi kepada semua permasalahan.
Sumber: Berita Harian (28 Disember 2014)

Comments