BERSYUKURLAH ATAS NIKMAT REZEKI YANG DIKURNIAKAN ALLAH DENGAN MEMBANTU INSAN LAIN YANG MEMERLUKAN


Allah SWT menganugerahkan manusia pelbagai nikmat yang sempurna sama ada zahir atau batin. Kemudian Allah SWT memerintahkan kita supaya bersyukur kepadaNya. Sesiapa yang bersyukur kepada Allah SWT, pasti dia akan berusaha memperelokkan ibadatnya. Begitu juga sesiapa yang mensyukuri nikmat Allah SWT, pasti Allah SWT akan tambah nikmat-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 “...Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu...” (QS Ibrahim: 7).

Dalam keadaan manusia yang serba kekurangan hari ini akibat pandemik Covid -19, ada sesetengah daripada kita yang masih dikurniakan rezeki yang lebih daripada yang lain. Namun, apa yang sangat dikesalkan adalah apabila ada yang mempunyai rezeki lebih tetapi mereka sombong. Sombong kepada Allah SWT dan terhadap manusia lainnya. Mereka tidak mahu berkongsi serta berbahagi rezeki yang Allah SWT kurniakan untuk membantu orang lain yang memerlukan sebagai tanda syukur atas razeki yang Allah SWT kurniakan tersebut.

Bahkan, ada antara mereka dengan sombongnya mengaku bahawa nikmat yang mereka kecapi hari ini adalah hasil usaha keras mereka sendiri tanpa bantuan sesiapapun dan mempersoalkan mengapa hasil mereka perlu dikongsi dengan orang lain yang mereka anggap malas berusaha. Nampak seperti penceritaan di dalam drama televisyen bukan? Tetapi pada hakikatnya inilah senario sebenar yang terjadi dalam masyarakat hari ini. Firman Allah SWT: 

"...dan janganlah engkau berjalan dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi membangga diri." (QS Luqman: 18). 

Ingatlah, segala nikmat yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil pemberian Allah SWT. Ya memang kita berusaha, tetapi jika tidak dapat keizinanNya, hatta rezeki sebesar hama pun tidak akan kita perolehi. Bersyukurlah atas nikmat yang diberi Allah SWT dan berkongsilah semampu kita dengan orang lain. Sesungguhnya, di dalam rezeki kita ada rezeki orang lain dan rezeki yang diberikan kepada orang lain itu akan diganti Allah SWT dengan ganjaran yang lebih besar. Jangan sesekali sombong dan mendabik dada dengan Maha pemberi rezeki kepada manusia iaitu Allah SWT.  Ingatlah bahawa Allah SWT lah yang memberi razeki dan menyekat razeki seseorang. Kemudian yakinlah bahawa apabila razeki kita dikongsi dengan orang lain kerana membantu mereka yang dalam kesusahan, Allah SWT pasti akan menggantikannya dengan razeki lain yang lebih baik di dunia dan memberi ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 “Katakanlah! Sesungguhnya, Tuhanku melapangkan rezeki dan menyekatnya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya; Dan apa sahaja yang kamu berikan, Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi Rezeki yang terbaik.” (QS Saba':34).

Sumber: Sinar Harian (2 April 2019)

Comments