FAHAMAN ISLAM LIBERAL ADALAH SESAT!!! JANGAN TERPENGARUH DENGANNYA MESKIPUN GOLONGAN INI MENDAKWA MEMPERJUANGKAN ISLAM

 

Liberalisme yang berlaku di dalam agama Kristian menjadi punca utama fahaman liberal turut memberi tempias kepada dunia Islam. Ia menular kepada agama Islam apabila lahirnya ramai ilmuan yang cenderung kepada orientalis Barat. 


Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah menyatakan tentang bagaimana golongan orientalis menjadikan fahaman liberal ini sebagai senjata ampuh bagi menjatuhkan Islam. Hal ini merupakan satu pendekatan halus bagi menawan Islam dan umatnya. Pemikiran ‘modernisme’ seperti yang dibawa oleh ilmuan Islam liberal cuba memberikan satu tafsiran Islam yang baru mengikut konsep humanism, hak dan kebebasan individu. Dari satu sisi mereka dilihat seperti memperjuangkan Islam kerana dikatakan pemikiran itu sebagai sebahagian dari Islam. 


Sejarah yang telah terukir sewaktu zaman gelap yang berlaku di Eropah boleh dijadikan panduan dan teladan agar umat Islam belajar serta mempelajari sesuatu mengenainya. Anasir-anasir yang boleh merosakkan Islam dari dalam begitu mudah disebarkan dalam masyarakat tanpa boleh dihalang ini satu masa kelak akan memberi ancaman kepada masyarakat Islam di Malaysia.


Gerakan fahaman Islam liberal ini semakin utuh dan mendapat tempat dalam segelintir umat Islam di Malaysia dengan ada sebaran media baru dan perlu diatasi dari terus menular. Kemelut yang berpunca daripada kekeliruan pemikiran ini hanya boleh ditangani dengan berkesan melalui kaedah pendidikan yang betul dan terancang. Ilmu fardhu ain perlu diajar dengan betul dan mencukupi bagi menangani persoalan pemikiran semasa supaya orang Islam tidak mudah hilang jati diri.


Hakikat kebebasan dan perjuangannya perlu diperjelaskan dengan terperinci mengikut ajaran Islam yang benar. Kebebasan dalam Islam hadir bersama tanggungjawab yang tersendiri. Walaupun manusia diberikan kebebasan oleh Allah SWT bagi membuat pilihan contohnya dalam hal keimanan tetapi ruang kebebasan itu tidak pula melupuskan perjanjian yang telah dilakukan dengan Allah SWT untuk mengikut apa yang telah ditetapkan olehNya sebagai panduan kehidupan.


Al-quran memperingatkan manusia bahawa telah ada tanggungjawab yang sedia diletakkan di atas bahu semua manusia sejak alam rahim lagi. Firman Allah dalam Surah al-A’raf, ayat 172 bermaksud: 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, Bukanlah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab, “Benar, kami bersaksi”. Demikianlah supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak, “Sesungguhnya kami lalai tentang ini”. 


Sumber: Kertas Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam, 2016

Comments