Seorang yang bergelar Muslim adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Tidak seharusnya kebencian beraja dalam diri mereka, permusuhan yang berpanjangan dan sifat dengki tidak patut mempengaruhi akhlak mereka. Oleh itu banyak ayat quran dan hadis yang menjelaskan tentang bahaya dan larangan saling membenci dan bermusuhan. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu, dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (QS al-Hujurat: 10).
Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah engkau semua saling benci-membenci, saling dengki-mendengki, saling belakang-membelakangi dan saling putus-memutuskan (ikatan persahabatan atau kekeluargaan) dan jadilah engkau semua hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidaklah halal bagi seseorang Muslim kalau ia meninggalkan (yakni tidak menyapa) saudaranya lebih tiga hari." (Muttafaq 'alaih).
Sementara itu, permusuhan antara sesama Muslim juga menyebabkan amalan kebaikan yang dibuat tidak akan diterima oleh Allah SWT sehinggalah mereka berbaik dan menyambung semula ikatan persaudaraan sesama Islam. Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
“Pintu-pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Lalu diampuni dosa seluruh hamba yang tidak berbuat syirik (menyekutukan) kepada Allah dengan sesuatu apapun. Kecuali orang yang sedang ada permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: Tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai..." (HR Muslim).
Sesungguhnya permusuhan di antara dua umat Islam adalah satu hal yang merugikan agama. Seharusnya sesama saudara seagama, kita digalakkan untuk berkasih sayang, berdamai, saling mencintai dan saling mengukuhkan ikatan ukhawah. Bukan dengan menyebarkan kebencian dan menyemarakkan lagi api permusuhan sesama Muslim. Di zaman ini, banyak terjadinya perkelahian sesama Muslim, tidak hanya di peringkat atasan malah marhaen di bawah juga terikut-ikut rentak seperti itu. Kadang-kadang hal yang kecil boleh menjadi besar, sebagai contoh kawasan kejiranan. Ada di antara kita atau orang lain yang bergaduh dengan jirannya hanya kerana hal kecil seperti haiwan peliharaan, kawasan perbatasan yang tidak sengaja dicerobohi dan banyak lagi. Bermula dari hal kecil, akhirnya menjadi kepada permusuhan yang besar.
Tahukah kita bahawa Allah SWT akan menunda segala amalan kebaikan kita selagi kita bermusuh sesama Islam? Walau sebanyak mana amal kebaikan yang dilakukan, sedekah jariah yang diberi, Allah SWT tetap tidak akan memberikan ganjaran pahala selagi kita tidak berdamai. Maka dengan itu, berdamailah. Carilah jalan solusi yang tidak membawa kita kepada permusuhan sesama Muslim. Hentikanlah pertengkaran dan pertikaian khususnya terhadap hal yang remeh. Jangan sesekali menimbulkan kebencian dan permusuhan sesama Muslim kerana musuh-musuh Islam suka melihat akan perpecahan di kalangan umat Islam. Didik hati kita untuk saling bertoleransi dan memaafkan. Firman Allah SWT:
“Maka barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (QS Asy – Syura: 40).
Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)
Comments
Post a Comment