ISLAM LIBERAL YANG SESAT DAN MENYESATKAN. TOKOH-TOKOHNYA YANG TIDAK LAYAK 'BERIJTIHAD' DAN MENGELUARKAN HUKUM ISLAM BERDASARKAN LOGIK AKAL SEMATA-MATA
Menurut Charles Kurzman, Muslim pertama yang mencadangkan nama ‘liberal Islam’ ialah Asaf Ali Ashgar Fyzee, seorang modenis kelahiran india. Asaf Ali menyatakan:
“A newer ‘protestant’ Islam will be born in conformity with conditions of life in the twentieth century, cutting away the dead wood of the past and looking hopefully at the future. We need not bother about nomenclature, but if some name has to be given to it, let us call ‘Liberal Islam’..”
Menurut salah seorang tokoh Islam Liberal iaitu Luthfi Assyaukanie, sebagai sebuah gerakan pembaharuan pemikiran keagamaan, Islam liberal mempunyai dua musuh. Pertama, pemikiran konservatif agama iaitu suatu pemahaman sempit terhadap agama yang selalunya skeptikal dan menolak sebarang pembaharuan. Kedua, fundamentalisme iaitu sikap pemaksaan pandangan terhadap kelompok lain dengan cara kekerasan.
Menurut pandangannya lagi, kedua-dua aliran konservatif dan fundamentalis ini merupakan ‘antitesis’ kepada gerakan Islam liberal yang amat menitikberatkan kepelbagaian pandangan, pembukaan ijtihad, hak asasi manusia, kebebasan dan lain-lain nilai yang menjadi rukun kepada aliran liberal.
Gerakan Islam liberal juga mempersoalkan tindakan umat Islam yang harus menunggu fatwa terlebih dahulu sedangkan menurut mereka akal rasional atau ijtihad sendiri sudah cukup untukmenjustifikasikan perkara-perkara yang sederhana. Namun, Islam menggariskan syarat-syarat yang ketat sebelum seseorang itu mampu mencapai tahap kemampuan untuk berijtihad. Imam Syatibi menetapkan bahawa seseorang yang ingin berijtihad mestilah memahami Maqasid Syariah secara sempurna dan mampu untuk mengistinbatkan hukum syara’ daripada dalil-dalil al-Quran.
Perlu diingatkan bahawa pintu ijtihad tidak pernah tertutup dan Islam membuka pintu ijtihad terutamanya bagi menyelesaikan permasalahan-permasalahan baru, namun ia mestilah dilakukan oleh mereka yang benar-benar berkelayakan sahaja, bukannya bebas untuk sesiapa sahaja seperti yang terpakai dalam pemahaman Islam liberal.
Sumber: Al-Bayan, siri 12, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment