KESESATAN SYIAH MENYAMBUT PERISTIWA KARBALA (10 MUHARAM) APAKAH DENGAN MENYIKSA DIRI UNTUK MENYAMBUT PERISTIWA KARBALA MERUPAKAN AJARAN ISLAM?


Setiap tahun apabila masuknya bulan Muharram, sudah tentu umat Islam akan mengingati tarikh 10 Muharram dengan pelbagai amalan dan ibadah yang dilakukan. Ada yang berpuasa, ada pula yang menyediakan juadah bubur asyura yang telah menjadi adat dan amalan khususnya masyarakat Islam Malaysia semenjak dahulu. Namun, adakah puasa pada 10 Muharram ini merupakan adat turun-temurun yang sengaja diada-adakan atau sebaliknya?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a bermaksud: “Hari Asyyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraish berpuasa pada ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah s.a.w juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi s.a.w berpuasa pada hari Assyura dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun, apabila difardhukan puasa Ramadhan, Baginda bersabda mafhumnya: ‘Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah (pada hari Assyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa Assyura). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada hari Asyyura atau 10 Muharram merupakan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w dan pada ketika ini Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang boleh merosakkan dan membinasakan diri apatah lagi menganjurkan kepada umatnya untuk melakukan sedemikian.

Lain pula dengan tradisi yang ditunjukkan oleh pengikut Syiah pada 10 Muharram dimana mereka membuat ritual mencederakan badan mereka dengan senjata tajam seperti pedang, pisau dan alatan lain sehingga luka dan mendatangkan kecedaraan yang parah. Malah kanak-kanak dan bayi turut sama menjadi mangsa kerakusan ajaran Syiah yang songsang dan jauh dari landasan Islam yang sebenar sambil mengalunkan lagu-lagu dengan senikata yang menggambarkan memperingati seseorang yang telah meninggal dunia dan kononnya untuk mengenang kembali peristiwa Karbala.

Menurut kepercayaan Syiah, pada 10 Muharram tersebut telah tumpasnya cucu Rasulullah s.a.w di tangan Pasukan Kuffah sehingga dikatakan telah tercerainya badan dan kepala dan peristiwa tersebut telah berlaku di Karbala. Atas ketaksuban terhadap ahlul bait dan keluarga Saidina Ali yang menjadi teras kepercayaan golongan Syiah, maka mereka menyambut hari Asyyura dengan penuh duka dan ‘bermandi darah’ demi mengenang peristiwa tersebut.    

Kepercayaan sesat Syiah ini adalah satu perkara yang karut yang tidak patut diamalkan oleh umat Islam, kerana sudah jelas bukan itu yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w. Sedangkan Islam adalah agama Rahmatan Lil ‘Alamin (rahmat bagi sekalian alam) yang melarang umatnya daripada membinasakan dan mencederakan diri sendiri demi mendapat ganjaran dan keredhaan serta rahmat dari Allah s.w.t.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Comments