MEMBANTERAS JENAYAH ADALAH TERMASUK 'AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR' YANG MENJADI KEWAJIPAN SETIAP MUSLIM DAN TUNTUTAN IMAN
Agama Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan hidup sesama umat manusia agar dapat membangun ukhwah yang teguh, bersatu padu dan bekerjasama. Oleh itu, bagi mencapai tujuan tersebut, Islam menganjurkan umatnya melaksanakan 'amar makruf nahi mungkar' iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (termasuk mencegah pelbagai maksiat dan jenayah). Hal ini seperti firman Allah SWT:
"Orang-orang yang kafir dari Bani Israel telah dilaknat melalui lisan Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka itu tidak saling melarang antara satu sama lain terhadap kemungkaran yang mereka lakukan. Sesungguhnya sangat buruk apa yang mereka lakukan." (QS al-Maidah: 78-79).
Rasulullah SAW juga bersabda:
"Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, dan jika tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya, dan yang demikian adalah selemah-lemah iman." (HR Muslim).
Sejak kebelakangan ini, banyak sekali kejadian-kejadian kes jenayah yang berlaku di negara ini. Bukan sahaja kes jenayah berat, malah kes jenayah berkaitan dengan salah laku seksual juga tidak kurang banyaknya. Malah, dalam satu statistik yang dikeluarkan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sebanyak 2,436 kes melibatkan golongan pedofilia sahaja telah direkodkan dan ia semakin bertambah secara mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dengan jumlah catatan kes sebanyak 1,065 kes.
Bukan itu sahaja, di dalam rekod yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia mencatatkan kenaikan kes-kes jenayah di setiap bahagian mahkamah di mana kes yang tertinggi dicatatkan adalah di dalam Mahkamah Majistret sebanyak 382,095 sehingga Jun 2021 berbanding 351,196 tahun lepas. Satu kenaikan jumlah yang mendadak! Dapat dilihat di sini betapa semakin hari semakin runtuhnya moral masyarakat di negara ini. Sangat mendukacitakan bila mana kita kini hidup di dalam satu keadaan yang tidak kondusif dan membahayakan. Justeru, apa peranan kita dalam menjaga diri sendiri dan peka terhadap keadaan sekeliling? Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (QS Al – Maidah: 2).
Seharusnya sebagai umat Islam dan juga sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah peka terhadap keadaan sekeliling kerana jenayah tidak mengenal mangsa, tempat dan waktu. Bahkan, di dalam kawasan yang disangkakan aman pun boleh terjadinya tindak jenayah tanpa disangka. Apa yang perlu kita lakukan adalah dengan sentiasa menjaga diri sendiri dan mengawasi keselamatan keluarga dan juga orang lain. Allah SWT berfirman:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) dan menyuruh berbuat makruf, serta melarang daripada mungkar, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebenaran." (QS Ali-Imran: 104).
Justeru, didiklah diri kita agar menjadi “busybody” demi keamanan masyarakat kerana ia boleh dikira sebagai salah satu daripada tuntutan iman. Pupuk diri untuk saling bermuafakat, bergaul sesama jiran di kawasan setempat atau dalam kalangan kelompok masyarakat yang besar kerana dengan cara itu barulah kita mendapat kepercayaan untuk saling menjaga satu sama lain. Selain itu, tindakan ini juga dapat membuka mata masyarakat supaya lebih perihatin dan dengan segera mencegah kemungkaran yang berlaku.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Portal Rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia
Comments
Post a Comment