SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU ISLAM 1443 HIJRAH BERHIJRAHLAH KEPADA AMALAN YANG LEBIH BAIK DAN POSITIF AGAR MENDAPAT KESEJAHTERAAN DAN DIREDHAI ALLAH SWT
Sambutan Maal Hijrah di tahun 1443 seakan membuka satu lembaran baru di dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia khususnya sebagai umat Islam. Masakan tidak, jika tahun-tahun sebelum ini kita hidup dalam serba kekurangan, mungkin kali ini ada sedikit kesenangan walaupun pandemik Covid-19 masih belum reda. Walau apa jua keadaan yang berlaku, ingatlah kita sebagai umat Islam jangan sesekali mengalah dan terus berjuang untuk memperbaiki hidup ke arah yang lebih positif. Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam." (HR Bukhari dan Muslim).
Lihat hadis di atas, bagaimana Rasulullah SAW memotivasikan para umatnya untuk sentiasa berusaha ke arah kebaikan dan jangan pernah berhenti untuk berusaha melakukan berbanyak kebaikan kerana setiap kegagalan lampau itu akan menjadi pengajaran untuk menjadikan kita lebih baik daripada keadaan sebelumnya. Mukmin yang yang berjaya sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan diri untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Sebab itu disebutkan, jika kita mahu berjaya hendaklah mengambil dan meniru sifat serta sikap orang yang berjaya. Setiap tindakan dan perbuatan orang berjaya boleh dijadikan teladan untuk kita sama-sama mencipta kecemerlangan.
Apabila berjaya melakukan penghijrahan dalam kehidupan dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, baru nampak proses perubahan telah berlaku dan keadaan bakal mencapai kesempurnaannya. Jadilah “orang beruntung” iaitu orang yang bersiap sedia untuk melakukan hijrah. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa ‘set di dalam minda kita bahawa hijrah di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah kearah Islam dan iman yang lebih baik dan seterusnya menggapai redha ilahi.
Firman Allah SWT:
“Dan orang-orang Yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya Yang baik; dan Sesungguhnya pahala (amal mereka Yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui”. (QS An – Nahl: 41).
Sumber: Berita Harian (28 September 2017)
Comments
Post a Comment