TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERMANFAAT DAN SENTIASALAH BERUSAHA UNTUK MEMPERBAIKI DIRI AGAR MENJADI MUSLIM YANG SEMPURNA


Setiap daripada kita tahu bahawa masa yang berlalu itu pasti tidak akan kembali lagi. Oleh sebab itulah sikap setiap muslim yang baik keIslamannya pasti akan sentiasa memanfaatkannya dengan perkara-perkara yang bermanfaat, sekaligus meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat lagi tidak disukai Allah SWT. Malah Allah SWT menegaskan di antara sifat orang-orang yang berjaya adalah orang yang meninggalkan hal yang sia-sia. Sabda Rasulullah SAW:

“Termasuk kebaikan Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.” (HR At- Tirmizi).

Dapat dilihat pada zaman kini kebanyakan daripada kita ini sering menghabiskan masa terhadap perkara-perkara yang tidak berfaedah. Apatah lagi dengan kehadiran pelbagai bermacam platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Tweeter dan sebagainya membuatkan kita semua bertambah leka dengan tanggungjawab sebagai Muslim kepada Allah SWT. Adakah dengan sering membaca gosip, meninggalkan komen-komen yang menjelekkan serta menyebarkan aib seseorang itu akan dinilai oleh Allah SWT sebagai perkara bermanfaat? Tidak! Allah SWT menilaikannya sebagai dosa. 

Jadi, mengapa kita masih lagi ingin menambah dosa yang sedia ada? Di akhir zaman ini, perbanyakkanlah amal ibadah dan lakukanlah perkara-perkara yang bermanfaat serta berusahalah untuk memperbaiki diri agar menjadi Muslim yang sejati. Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang muslim ialah di mana umat Islam lainnya selamat dari lidah dan tangannya dan orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” (HR Bukhari).

Setiap Muslim bertanggungjawab terhadap semua amalan yang dilakukannya dan setiap saat yang dihabiskan dan terhadap setiap kalimah yang dituturkan. Justeru itu, hendaklah dia membataskan dirinya dengan sesuatu yang berfaedah sahaja. Hati yang sentiasa sibuk dengan Allah SWT tidak akan memperdulikan urusan orang lain yang tidak berkenaan dengan dirinya. Maksudnya ialah melakukan kerja-kerja yang Allah SWT redhai seperti beribadah, menuntut ilmu bermanfaat, menolong saudara Muslim dan berdakwah kepada manusia lain. 

Sumber: Laman Web DakwahdanTarbiah.com

Comments