AMALKAN SIKAP SALING BANTU-MEMBANTU SESAMA MUSLIM AGAR DIPERMUDAHKAN URUSAN DI DUNIA DAN AKHIRAT OLEH ALLAH SWT

Islam sangat menekankan keperluan membantu sesama insan.


Firman Allah SWT yang bermaksud: 


“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (QS al-Ma’idah:  2).


Apabila berbicara soal bantu-membantu, ia bukanlah hanya terletak kepada pemberian sahaja, malah doa sesama Muslim untuk kesejahteraan dan kemudahan urusan seharian masing-masing juga boleh dianggap satu bantuan. Berbuat kebaikan tidak semestinya menunggu kedatangan bulan-bulan tertentu seperti bulan Ramadhan atau bulan-bulan suci yang lain. Bantu-membantu juga tidak perlu menunggu tibanya musibah, ketika waktu senang pun kita boleh membantu. 


Konsep bantu-membantu sesama umat Islam adalah petua terbaik bagi melihat keutuhan ekonomi dan perpaduan umat Islam. Tolong menolong merupakan satu keperluan dalam kehidupan kita. Sebagai manusia yang mempunyai kemampuan yang berbeza-beza, kelebihan kita dalam suatu perkara dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan orang lain yang memerlukan. Begitu juga kelebihan orang lain akan memberi kebaikan kepada kita. Untuk mewujudkan hubungan yang harmoni dan saling lengkap-melengkapi sesama manusia maka manusia memerlukan antara satu sama lain. Sabda Rasulullah SAW:


“Allah akan sentiasa menolong hambaNya selama ia mahu menolong saudaranya.” (HR Muslim).


Mungkin ramai sudah mengetahui apabila ada di antara golongan agamawan yang selalu menyebut “kita menolong saudara seagama kita bukan kerana untuk menolong mereka sahaja, tetapi juga menolong diri kita juga.”. Kerana apa? Kerana inilah yang menjadi ‘talian hayat’ kita kelak di padang mahsyar. Amalan inilah yang menjadi jaminan kita untuk masuk ke dalam syurga jika amalan ibadah kita tidak mencukupi. Oleh itu, jangan merasa gusar untuk membantu sesama Muslim bahkan untuk berdoa sekalipun kerana ianya boleh dikira satu sedekah dan sedekah itulah yang paling ikhlas dan bermakna di mata Allah SWT. 


Justeru, jangan lokek untuk menghulurkan bantuan. Percayalah setiap kebaikan yang dilakukan itu pasti akan kembali kepada mereka yang melakukannya. Mungkin pada hari ini kita menolong orang lain, namun pada saat kita memerlukan bantuan, ada orang lain yang barangkali tidak dikenali akan menghulur pula pertolongan pada kita. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: 


"Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah SWT tidak akan menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya." (HR Muslim).


Kemudian, ingatlah kepada sabda Rasulullah SAW bahawa jika kita membantu orang lain yang dalam kesusahan, Allah SWT pasti akan membantu dan memudahkan urusan kita sama ada di dunia mahupun di akhirat. Rasulullah SAW bersabda:


“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim).


Sumber: Sinar Harian (25 Jun 2019)

Comments