BERBUAT BAIK KEPADA JIRAN DENGAN MENJAGA HAK-HAK JIRAN MERUPAKAN SYARAT  KESEMPURNAAN IMAN


Agama Islam adalah agama yang sangat mementingkan hubungan persaudaraan dan sentiasa menganjurkan umatnya untuk sentiasa hidup bersatu-padu bagi mengelakkan perselisihan atau perpecahan dalam kehidupan berkeluarga, berjiran, bermasyarakat dan bernegara. 

Oleh itu, berbuat baik kepada jiran adalah antara tuntutan utama dalam Islam. Bahkan, perintah itu disebut dengan diikat bersama perintah menyembah Allah dan tidak melakukan syirik. Ia menggambarkan satu perintah yang besar dan tidak boleh dipandang remeh sepertimana yang disebut dalam Surah al-Nisa', ayat 36. Allah SWT berfirman: 

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri". (QS An-Nisa':36). 

Berbuat baik kepada jiran dan menjadi jiran yang baik mempunyai kaitan dengan kualiti iman kita. Kesempurnaan iman seseorang bukan hanya bergantung kepada sejauh mana hubungannya dengan Allah SWT, bahkan ia juga dilihat bagaimana hubungannya dengan manusia yang lain termasuk jiran terdekat. Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (HR Muslim). 

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda: 

“Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.” (HR al-Bukhari). 

Sudah menjadi adat masyarakat di negara ini apabila setiap daripada kita hidup berjiran di antara satu sama lain. Tidak dinafikan bahawa hidup berjiran ini amat diperlukan di masa kini terutamanya ketika dilanda musibah dan keusahan dan orang pertama yang akan menghulurkan bantuan sudah semestinya jiran terdekat. Akan tetapi, masih terdapat di kalangan kita terutamanya yang beragama Islam masih sahaja suka menyakiti jiran tetangga termasuk melanggar hak-hak jiran mereka. 

Oleh itu, jagalah hak dan perasaan jiran di sekeliling kita walaupun kadangkala mereka juga sentiasa menduga kesabaran kita. Berbuat baiklah sesama jiran kerana Allah SWT amat menyayangi hambaNya yang memuliakan jiran tetangganya. Dalam konteks menjaga hubungan silaturahim sesama jiran, janganlah sekali-kali menyakiti hati jiran dan ahli keluarga mereka, sama ada dengan perkataan, perbuatan mahupun tingkah laku yang boleh menyinggung perasaan mereka. Ini termasuklah dalam perkara menjaga kebersihan dan keselamatan serta keselesaan di kawasan tempat kita tinggal atau kawasan sempadan jiran. Sabda Rasulullah SAW: 

“Tidak masuk syurga barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (HR Muslim). 

Ingatlah, seorang Muslim yang menyantuni, memuliakan dan menyayangi jirannya kelak akan dikurniakan Allah SWT ganjaran syurga buat dirinya. Tidak mahukah kita ganjaran seperti itu? 

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)


 

Comments