HINDARILAH PERBUATAN FITNAH KERANA IA ADALAH DOSA BESAR DAN SYURGA BUKAN MILIK PENABUR FITNAH


Fitnah termasuk cabang dari perbuatan prasangka dengan menyampaikan sesuatu yang yang tidak sebenarnya atau dusta mengenai seseorang. Islam sangat melarang perbuatan fitnah sepertimana Firman Allah SWT yang bermaksud:


"Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah (QS al- Qalam: 10-11).


Fitnah termasuk dalam dosa besar yang tidak mendapat pengampunan Allah SWT selagi tidak diselesaikan sesama manusia. Oleh itu, Islam melarang umatnya memfitnah atau menyebarkan berita-berita fitnah. Beratnya akibat yang ditimbulkan karena fitnah telah menyebabkan orang yang melakukan fitnah ini akan terhalang dari memasuki syurga Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW:


"Tidak dapat masuk surga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)". (HR Muslim).


Sementara itu, zaman ini merupakan zaman fitnah sesama manusia terutamanya sesama umat Islam. Lihatlah apa yang terjadi pada hari ini, umat Islam berpecah belah hanya kerana sikap pengkhianatan, fitnah, mengadu domba dan melaga-lagakan sesama sendiri mengakibatkan umatnya hidup secara berpuak-puak. Lebih menyedihkan apabila ada di kalangan umat Islam dengan sengaja cuba mencari gaduh terhadap umat Islam lainnya dengan memprovokasi dan memfitnah sedangkan isu itu tidak timbul sama sekali. Mengapa begitu teruknya sikap umat Islam pada hari ini?


Kita mengaku kita umat Islam, beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW dan mengikut segala panduan yang terdapat dalam al – Quran dan as – Sunnah, tetapi mengapa kita masih bersikap seperti kaum jahiliyyah? Tahukah kita sebagai umat Islam yang memfitnah umat Islam lainnya ibarat memakan daging saudara sendiri?! Allah SWT berfirman:


“...dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (QS al – Hujurat: 12).


Wahai umat Islam, hindarilah daripada sikap memfitnah sesama manusia kerana ia tidak akan mendatangkan kepuasan di dalam hati melainkan penyesalan terhadap diri. Andaikan sahaja jika kita memfitnah sebelah pihak kepada pihak yang lain dan pihak itu tidak mahu memaafkan kita atau kita tidak sempat meminta maaf kepada pihak yang difitnah itu, dosanya kita akan bawa sampai ke hari kiamat. Bukan itu sahaja, jika dengan kehendak Allah SWT, kita akan mendapat kifarah sama ada terhadap diri sendiri ataupun keluarga.  Jika kita bersalah kepada Allah SWT kita boleh sahaja memohon keampunan, tetapi jika berbuat salah kepada manusia, sejuta kali kita memohon ampun kepada Allah SWT sekalipun Allah SWT tidak akan memaafkan kerana kemaafan itu tidak diredhai oleh pihak yang kita fitnah itu. 


Oleh itu, marilah kita melakukan satu anjakan paradigma sebagai umat Islam yang unggul dengan menjauhi segala sifat-sifat mazmumah dan mendekatkan diri kita dengan sifat-sifat mahmudah. Fitnah ini sangat merbahaya bukan sahaja kepada perpaduan masyarakat, bahkan juga kepada nyawa individu itu sendiri. Bahkan, banyak dalam laporan jenayah di dada akhbar-akhbar tempatan berpunca daripada fitnah dan buruk sangka.  Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:


“Barangsiapa yang berbicara tentang diri seorang Mukmin yang tidak ada padanya; Allah akan menempatkannya di “Radghah Al Khabal” (genangan lumpur dan cairan darah dan nanah penduduk neraka). Kecuali ia bertaubat dari pernyataan tersebut.” (HR Ibnu Daud dan Ahmad).


Sumber: Harian Metro (15 Februari 2019)

Comments